Untuk tempoh terdekat ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hampir pasti akan menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia yang kelima. Beliau berjaya memadamkan rekod tiga orang bekas rakan sejawatannya sebelum ini yang semuanya kempunan untuk menduduki kerusi nombor satu itu.
Datuk (sekarang Tan Sri) Musa Hitam, Encik (sekarang Tun) Abdul Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dalam mengejar cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ketiga-tiga mereka mempunyai masalah, dalil dan alasan tersendiri untuk berundur dan diketepikan.
Dua puluh satu tahun tempoh pemerintahan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (tanpa mengira 16 bulan lagi sehingga tarikh perletakan jawatannya), ialah satu tempoh yang cukup panjang.
Jika seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) perlu menunggu selama itu di belakang beliau untuk mengambilalih kerusi nombor wahid itu, ia adalah suatu yang amat menjemukan, menyiksakan, sangat mencabar dan boleh membuatkan pemimpin berkenaan sakit jiwa.
Mujurlah Musa, Ghafar, Anwar dan Abdullah tidak perlu menunggu selama dua dekad di belakang Dr Mahathir. Penantian selama 17 tahun diisi oleh Musa, Ghafar dan Anwar. Abdullah lebih bernasib baik kerana hanya perlu menunggu empat tahun daripada awal 1999 hingga Oktober 2003 untuk menjadi PM.
Walaupun nasib Abdullah sudah hampir diketahui namun masih ada kalangan yang ragu-ragu. Menurut mereka tempoh peralihan kuasa selama 16 bulan itu terlalu panjang.
Apa-apa boleh berlaku sepanjang tempoh tersebut. Abdullah mungkin menjadi PM atau mungkin tidak, semuanya bergantung pada keadaan politik dan ekonomi semasa.
Masih kabur
Dr Mahathir telah menetapkan pengundurannya selepas Oktober 2003. Beliau mahu mempengerusikan dahulu sidang kemuncak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dijadualkan berlangsung di sini pada 24 - 25 Oktober tahun depan.
Pun begitu masih banyak pihak meraguinya. Pada pendapat mereka Dr Mahathir hanya memberi isyarat untuk berhenti sebagaimana pada tahun-tahun yang lalu di mana beliau sering menyatakan "sampai masanya saya akan berundur".
Walaupun kali ini beliau menyatakan dengan jelas waktu "persaraannya" namun ia masih kabur. Beliau memilih selepas sidang kemuncak OIC, tetapi bila tarikhnya?
Bagaimana kalau selepas Oktober 2003 beliau terus mengekalkan jawatannya? Tidakkah 2004, 2005 dan seterusnya adalah selepas sidang kemuncak OIC?
Kalangan pemimpin pembangkang percaya jika pilihanraya umum ke-11 tidak diadakan sebelum Oktober 2003, Dr Mahathir akan kekal sebagai PM hingga tamat mandat yang ada pada kerajaan sekarang iaitu hingga November 2004.
Pada pendapat mereka Dr Mahathir tidak mungkin berundur sebelum pilihanraya umum kerana beliau tentunya mahu menebus malu yang dilakar di mukanya dalam pilihanraya ke-10 pada tahun 1999 lalu.
Mungkin selepas mencatatkan kemenangan terbesar Barisan Nasional dalam pilihanraya ke-11, baru beliau akan berundur secara rasmi. Dr Mahathir tentunya mahu menyerahkan sebuah kerajaan dan parti yang kukuh dan kuat kepada penggantinya.
Mencari regu
Menyerahkan kerajaan dan Umno kepada Abdullah sebelum pilihanraya umum akan mengundang risiko besar. Walaupun Umno nampak seperti sudah pulih namunsebarang kesilapan dalam proses peralihan kuasa atau lebih tepat politicking semasa pemilihan TPM yang baru mungkin akan menimbulkan masalah dan perpecahan dalam parti.
Walaupun calon paling kanan ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak namun itu belum menjamin beliau akan terpilih. Jika Abdullah mahukan regu yang lain, Tan Seri Muhyiddin Yassin misalnya, Najib mungkin akan terpinggir.
Percaturan pemilihan TPM yang baru ini akan banyak mempengaruhi senario politik Umno dan negara pada tahun depan. Pemilihan pucuk pimpinan Umno jika terus dilangsungkan pada tahun depan akan menyaksikan perebutan jawatan yang sengit kerana ia akan menentukan siapa calon TPM.
Abdullah tentunya mempunyai regu pilihannya sendiri. Najib dikatakan saingan sengitnya. Bagaimanapun "persaingan" antara kedua-dua mereka mungkin boleh diakhiri dengan satu kompromi. Ini tidak mustahil kerana dalam politik apa sahaja boleh terjadi. Tiada kawan atau musuh yang kekal di dalam politik!
Walaupun Muhyiddin, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Tengku Razaleigh Hamzah mungkin lebih disenangi Abdullah, namun satu kompromi yang boleh menjamin kepentingan masing-masing adalah lebih penting daripada sebuah persahabatan yang telah terjalin sejak lama.
Pelbagai spekulasi akan menghantui Umno dan kerajaan daripada sekarang hingga Oktober 2003. Ramai yang berangan untuk duduk di sebelah Abdullah sebagai orang nombor duanya. Sedangkan Abdullah sendiri belum pasti sama ada dirinya akan merasai kerusi empuk PM itu, namun ramai "orangnya" sudah mula kembang hidung dan naik tochang.
Pelbagai muslihat, ampu-mengampu, tikam-menikam dan sandiwara akan dapat kita saksikan sepanjang tempoh peralihan kuasa ini. Dan tentunya ramai yang akan kecewa jika Dr Mahathir tiba-tiba mengubah fikirannya mahu terus berkuasa hingga orang Melayu mengubah sikapnya. Nampaknya jalan ke Seri Perdana walaupun sudah jelas namun masih penuh liku dan spekulasi.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau telah meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita prokerajaan" untuk menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih berkesan dan terbuka.
