Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS), sebuah program yang menyatukan pakar-pakar terkemuka dalam bidang kecerdasan buatan AI, universiti, industri, agensi-agensi dan pemegang taruh berkaitan dalam usaha memacu ketersediaan AI di Malaysia.

Objektif MY AI NEXUS 2024
Keupayaan Malaysia menerima teknologi AI dalam mengukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat
Mempromosikan peluang pengajian dan penyelidikan dalam bidang AI Malaysia
Memperkenalkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) di UTM sebagai penyedia Pendidikan AI di Malaysia bersama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang lain
Wujud peluang jaringan dan kerjasama antara IPT, industri, agensi kerajaan dan individu yang aktif dalam bidang AI
Memperkenalkan produk AI yang dihasilkan oleh penyelidik IPT dan pemain industri melalui pameran dan forum.
Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) pertama di Malaysia

Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, berkata peluncuran Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) UTM yang pertama seumpamanya di Malaysia adalah agenda utama majlis selain peluncuran AI Talent Roadmap for Malaysia (2024-2030) dan juga Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC).
“Pembangunan AI ini melibatkan keseluruhan ekosistem yang berkaitan termasuklah IPT, agensi kerajaan dan swasta serta industri berkaitan,” katanya.
Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi berkata UTM dipilih sebagai universiti pertama kerana mereka mempunyai pengalaman yang cemerlang dalam melahirkan graduan berteraskan kejuruteraan, sains dan teknologi, mempunyai pusat penyelidikan berteraskan AI seperti Centre For Artificial Intelligence & Robotics (CAIRO), Big Data Center dan Institute of Human Centred Engineering yang dilihat bersesuaian dengan apa diraih menerusi fakulti AI.
Beliau menjelaskan, UTM hanya berperanan sebagai platform dan pencetus sahaja. Namun, mereka juga perlu bergerak bersama universiti-universiti yang lain.
Menurut Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Datuk Mohd Sharil Abdullah, “Semua pihak perlu memainkan peranan bagi menarik minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Sekiranya perlu, kaedah pembelajaran yang lebih menarik wajar diperkenal bagi memastikan ia jadi fokus generasi muda”.
Penubuhan Malaysia Artificial Intelligence Consortium

Pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi dalam pelaksanaan kecerdasan buatan dimantapkan melalui penubuhan MAIC.
Konsortium ini merupakan inisiatif kerjasama antara institusi akademik, agensi kerajaan, dan industri di Malaysia, berobjektifkan kemajuan kecemerlangan AI, pertukaran ilmu dan kolaborasi, serta pemacuan inovasi dan impak. Kepentingan MAIC ini diukur dari segi aspek Accelerating Progress, Cross-Pollination of Ideas, Industry Adoption dan Education and Capacity Building.
Inisiatif ini selari dengan Malaysia AI Roadmap 2021–2025 di bawah Inisiatif Strategik Bakat AI, yang bertujuan untuk menawarkan pendidikan AI bersifat komprehensif dan inklusif bagi memenuhi permintaan 200,000 bakat AI di negara ini.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].

