Rata-rata kita mendengar rungutan pengguna tentang betapa mahalnya kos makanan dan bahan mentah.
Harga bahan bakar yang tinggi, hasil tani yang berkurangan ekoran perubahan iklim dan perubahan dalam permintaan merupakan antara faktor yang membawa kepada kenaikan harga makanan. Selain itu, konflik geopolitik Rusia-Ukraine turut menjejaskan pasaran makanan global, di samping peningkatan harga komoditi dan baja serta kekurangan tenaga kerja yang juga menyumbang kepada kenaikan harga makanan.
Bagi sebuah negara seperti Malaysia yang bergantung pada import makanan, memenuhi keperluan tempatan adalah amat mencabar. Menurut Jabatan Perangkaan, pada tahun 2020, Malaysia mengimport produk makanan bernilai RM55.5 bilion berbanding eksport (RM33.8 bilion).
Peningkatan inflasi makanan yang berterusan bukan sahaja menjejaskan kuasa membeli pengguna tetapi terus menghimpit kesejahteraan hidup golongan M40 dan B40. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi negara pada Mac 2023 adalah 3.4 peratus, lebih rendah berbanding 3.7 peratus yang dicatatkan pada Februari 2023.
Namun, inflasi bagi makanan dan minuman bukan berakohol yang berada pada paras 6.9 peratus serta restoran dan hotel pada 7.2 peratus dianggap masih kekal tinggi meskipun lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.
Daripada 230 kumpulan makanan dan minuman, sebanyak 201 jenis atau 87.4 peratus telah merekodkan kenaikan harga berbanding pada Mac 2022.
Bagi membantu menangani isu penting ini, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengambil inisiatif untuk menghidupkan sektor pertanian agar dapat memacu penghasilan makanan selain menangani isu kekurangan pekerjaan dan menyumbang dalam peningkatan sumber pendapatan, khasnya bagi golongan belia dan ibu tunggal.
Menerusi kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bank Islam telah menganjurkan Projek Inkubator Usahawan Tani YSM (Youth-Single Mother) yang bertujuan untuk mendedahkan para peserta kaedah pertanian organik melalui penerapan amalan-amalan bersifat mesra alam sebagai sumber pendapatan belia dan ibu tunggal terpilih.
Menurut Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, matlamat jangka panjang projek yang melibatkan 19 ibu tunggal dan 13 siswa UIAM itu adalah untuk memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terus terpelihara menerusi aktiviti penanaman dan penjualan hasil tani kepada peniaga dan komuniti sekitar.
“Selama enam bulan, para peserta mempelajari teori asas dan menjalani latihan praktikal mengenai penanaman sayur-sayuran yang baik. Menerusi bimbingan Malaysian Institute of Sustainable Agriculture (MISA) dengan seliaan pensyarah-pensyarah UIAM, peserta dilatih untuk bertani secara organik serta memasarkan hasil tani mereka. Mereka juga diberi pendedahan untuk menjadi usahawan tani (agropreneur) yang mampu menjana pendapatan masa depan serta menguruskan kewangan dan perniagaan yang dimiliki.
“Pendekatan holistik ini dipercayai mampu memberi perubahan positif kepada kehidupan para peserta, menjadikan mereka lebih berdikari dari segi ekonomi serta menjaga keseimbangan emosi dan rohani. Selain itu, projek ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kami menyokong usaha mengatasi kekurangan bekalan makanan di samping mendidik peserta untuk mengembangkan pendapatan kepada penyediaan makanan yang berkonsepkan ‘dari ladang ke meja makan’ yang sedia dinikmati pengguna daripada hasil sayuran yang ditanam” kata beliau pada Majlis Penutup Projek Inkubator Usahawan Tani YSM di UIAM baru-baru ini.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Rektor UIAM dan Hud Sulaiman, Pengerusi MISA.
Projek Inkubator Usahawan Tani YSM telah dimulakan pada Julai 2022. Para peserta didedahkan dengan cara penanaman dan penghasilan baja semulajadi daripada sisa makanan yang dikitar semula dan bahan-bahan hijau seperti dedaun dan lalang.
“Masyarakat hari ini amat peka terhadap kepentingan makanan berkhasiat dan keinginan untuk menjauhi bahan kimia dalam tanaman dan makanan yang mampu mempengaruhi kesihatan. Oleh itu, penggunaan semula sisa bahan organik dalam penanaman sumber makanan dan tanaman lain di kawasan sekitar berupaya memenuhi keperluan ini. Ia juga mampu mengurangkan pembaziran dan menjimatkan kos,” ujar Mohd Muazzam.
Antara sayur-sayuran yang ditanam para peserta adalah kangkung, bayam, kailan dan sawi dengan memanfaatkan tanah kosong di Mahallah Salahuddin al Ayyubi dan Mahallah Maryam, UIAM. Hasil tanaman yang dikutip kemudiannya dijual kepada orang ramai.
Menurut Mohd Muazzam, dana sumbangan hampir RM100,000 oleh cabang tanggungjawab sosial Bank Islam, AMAL Bank Islam, dalam projek ini menepati hala tuju institusi kewangan tersebut dalam memberikan tumpuan kepada usaha-usaha yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG).
“Adalah menjadi harapan kami agar inisiatif ini dapat meningkatkan taraf hidup pelajar dan ibu tunggal terbabit serta memberi peluang kepada mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya pada masa hadapan dengan menerapkan budaya hijau dan kitar semula,” tambah beliau.
Sementara itu, Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dzulkifli berkata, “Projek Inkubator Usahawan Tani YSM yang dijalankan di UIAM bukan sahaja melibatkan para peserta dalam aktiviti perniagaan tani sebenar tetapi juga dapat membina silaturahim antara masyarakat dan Universiti serta dapat menyediakan pekerjaan untuk masyarakat setempat.”
Mempraktikkan konsep ‘Dari Ladang ke Meja Makan’
Sepanjang projek selama enam bulan ini, para peserta ditugaskan untuk menjaga satu plot sayuran (metal deck), bermula daripada penyediaan tapak sehingga penuaian hasil tanaman dan menjualnya di pasaran tempatan.
Di bawah kendalian MISA dan seliaan oleh pensyarah UIAM, para peserta didedahkan dengan teknik-teknik penanaman dan pemasaran hasil tanaman mereka.
MISA melatih peserta selama tiga bulan dengan pemantauan berkala dijalankan selama tiga bulan seterusnya bagi memastikan projek dilaksanakan dengan baik dan hasil tanaman berkualiti diraih untuk dipasarkan.
Bagi Sharipah Salmah Mohd Yusoff, 57, menerusi Projek Inkubator Usahawan Tani YSM para peserta berpeluang untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran yang sering menjadi pilihan pengguna seperti kailan, kangkung dan sawi. Malah, hasil tanaman organik mereka mendapat sambutan yang cukup baik di pasaran tempatan kerana orang ramai mahukan sayur-sayuran segar dan bebas daripada penggunaan bahan kimia seperti pestisid.
“Kursus ini amat bermanfaat kerana fokus utama program ini adalah untuk melahirkan usahawan tani dan melengkapkan para peserta dengan kemahiran kewangan dan pengurusan perniagaan agar usaha niaga yang dijalankan teratur serta mampu menjana pendapatan yang berterusan,” kata Muhammad Nazmi Tusimun, 25, pelajar jurusan ekonomi di UIAM.
“Sejak harga makanan seperti sayur-sayuran semakin naik, saya mula mencari jalan alternatif untuk mengurangkan kos perbelanjaan. Melalui program seperti ini, saya dapat belajar cara untuk menanam sayur-sayuran secara organik, bagaimana untuk menyediakan tanah dan baja serta penyediaan hasil tani dan aktiviti jualan kepada pembeli. Bagi saya, program ini bukan sahaja membolehkan saya menghasilkan sayuran yang berkualiti untuk dinikmati pengguna, tetapi merupakan satu cara yang mampu meningkatkan pendapatan, khasnya dalam keadaan semasa yang amat mencabar,” kata Mahmude Mukhdar, 43.