Pembangunan belia adalah satu agenda yang penting untuk memenuhi aspirasi negara memandangkan golongan ini adalah aset yang amat bernilai dan perlu digilap potensinya agar mereka dapat membawa perubahan positif kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.
Penglibatan orang muda dalam pembangunan negara yang berorientasikan pengetahuan dan kemahiran mampu menyiap-siagakan mereka untuk menyahut cabaran masa hadapan. Inisiatif kerajaan untuk memperkasakan generasi muda hari ini termasuk memberi tumpuan kepada aspek kebolehpasaran, ekonomi dan keusahawanan, sosial, pendidikan, agama dan akhlak.

Suara anak muda
“Antara isu penting yang menjadi perhatian orang muda adalah soal peluang pekerjaan dan pendidikan. Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada peningkatan peluang pekerjaan, terutamanya untuk mereka yang baru tamat pengajian dan juga anak muda yang menganggur selepas pandemik Covid-19 ataupun disebabkan kekurangan kemahiran,” kata Muhammad Zulhilmi bin Zubir, 21, Pelajar, Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas.
Memandangkan bilangan siswazah yang semakin meningkat saban tahun, persaingan mendapatkan kerja menjadi semakin mencabar apabila kebanyakan peluang pekerjaan di Malaysia tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana. Walau bagaimanapun, terdapat juga orang muda yang menganggur disebabkan kemahiran mereka tidak memenuhi kehendak industri, terutamanya dari segi kemahiran teknikal.
Menyedari situasi ini, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan pelbagai institusi latihan kemahiran teknikal di seluruh negara termasuk Kepala Batas di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Pembangunan modal insan
Antara institusi vokasional yang wujud di sini adalah seperti Institut Pergigian Perubatan Termaju - Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) - Kampus Bertam, Kolej Komuniti Kepala Batas, Advance Medical & Dental Institute, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Pusat Giat MARA Kepala Batas, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Kolej Jururawat Bertam, Maktab Rendah Sains MARA Kepala Batas, dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SAKBA).
Zulhilmi yang sedang mengikuti kursus intensif berasaskan teknologi pintar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas merupakan satu contoh bagaimana orang muda boleh mempertingkatkan daya saing mereka melalui pemerkasaan kemahiran teknikal yang berorientasikan pendigitalan mengikut kehendak industri.
Kemudahan jalur lebar
Usaha kerajaan untuk mempergiatkan penyediaan infrastruktur kemudahan jalur lebar disambut baik oleh Zulhilmi kerana sektor pekerjaan dan pendidikan kini sangat bergantung kepada aksesibilti Internet berkapasiti tinggi dan berkelajuan tinggi.

Pelbagai institusi pendidikan
Sementara itu, bagi Afiq Zuhairi, 21, yang sedang menjalani latihan di salah satu institusi pendidikan di Kepala Batas, dengan memetik contoh pelbagai institusi latihan industri yang menawarkan kursus yang bersifat ‘kerja sambil belajar’ di Kepala Batas, beliau menyeru golongan belia merebut peluang ini untuk menambah pengetahuan dan kemahiran mereka demi masa hadapan yang lebih terjamin.
“Institusi-institusi tersebut bukan sahaja memanfaatkan orang muda lepasan SPM atau STPM, malah bagi mereka dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an,” kata beliau sambil menekankan kepentingan Kepala Batas melahirkan tenaga mahir untuk menyokong kawasan perindustrian berdekatan seperti Seberang Jaya, Kulim dan Bayan Lepas.
Kemahiran komunikasi
Afiq turut memberi perhatian terhadap kepentingan mempertingkatkan kemahiraan berkomunikasi dalam kalangan orang muda.
“Ini adalah kerana, terutamanya di tempat kerja, kemahiran komunikasi adalah antara elemen utama yang dituntut oleh semua bidang termasuk pihak majikan. Kemahiran ini perlu dikuasai untuk memastikan kelancaran urusan kerja, berhubung dengan pihak luar, malah proses pembelajaran,” kata beliau.
Memupuk keusahawanan dalam kalangan orang muda
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan memperbanyakkan hab keusahawanan dalam melatih belia agar mahir dalam perniagaan dan mampu menghasilkan golongan itu yang berdaya tahan, di samping menyediakan program pembangunan kompetensi belia.
Selain kemahiran vokasional, Afiq mencadangkan kerajaan memperbanyakkan hab keusahawanan setempat untuk membimbing dan melatih orang muda yang berminat dalam perniagaan kerana dengan wujudnya kapasiti dan kompetensi yang lebih luas, daya saing golongan muda juga akan meningkat. Beliau juga mencadangkan bantuan dari segi kemudahan kewangan bagi mereka yang ingin berkecimpung dalam dunia keusahawanan.
Kepala Batas Youth Centre (KBYC)
Afiq yang memahami keperluan orang muda amat mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk membina sebuah pusat belia bernama Kepala Batas Youth Centre (KBYC) yang bernilai RM45 juta di Paya Keladi. Pusat belia tersebut adalah khas untuk pembangunan fizikal dan rohani anak-anak muda di samping menjadi sebuah tempat bersosial yang sihat untuk mereka. Ia dijangka siap dalam masa dua tahun dengan kemudahan bersukan dan beriadah termasuk stadium mini, padang dan trek sintetik, gelanggang bola keranjang dan badminton, dan e-sport.
Kerusi parlimen P041 Kepala Batas
Kawasan parlimen Kepala Batas yang terdiri daripada Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal akan dipertahankan oleh penyandang kerusi tersebut, iaitu Datuk Seri Reezal Merican daripada Barisan Nasional yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022 ini.
Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas.
Layari www.demikepalabatas.com untuk maklumat lanjut tentang ikrar tersebut.

