malaysiakini logo
story-image
mk-logo
ASEAN
Pemerkasaan wanita dalam dunia bisnes ASEAN yang berpotensi besar
ADS

Pemerkasaan wanita merupakan kunci utama dalam menggerakkan pembangunan dan kemakmuran negara.  

Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, agenda pemerkasaan usahawan wanita dibawa ke peringkat serantau untuk mencapai matlamat Dasar Malaysia MADANI, Dasar Wanita Negara dan semua dasar pembangunan negara.

Usaha itu bagi memastikan penglibatan aktif usahawan wanita dalam meningkatkan hasil industri dan eksport negara tidak dipinggirkan.

Malaysiakini melaporkan tiga kejayaan usahawan wanita yang menyumbang dalam kepimpinan serta memperkukuh peranan dalam ekonomi.

MuzArt International - Shannics Teh 

Bermula dengan hanya satu meja dan lapan orang pelajar di sebuah lot kedai kecil pada awal penubuhannya, MuzArt International Sdn Bhd (MuzArt) kini boleh berbangga apabila mencatatkan kejayaan sebagai antara institusi pendidikan seni terkemuka di peringkat antarabangsa.

Ditubuhkan dengan matlamat untuk memperkasakan pendidikan seni seawal peringkat kanak-kanak, syarikat itu mula berkembang pesat sejak 2009, malah berjaya membuka banyak cawangan di dalam dan luar negara termasuk di Singapura, Filipina dan Indonesia.

Bagaimanapun, pengasasnya, Shannics Teh berkata, tidak mudah untuk mereka mengecapi kemanisan kejayaan pada peringkat awal terutama kerana dia menceburi bidang yang dimonopoli lelaki itu sebagai usahawan muda wanita.

Ketika itu, katanya, dia sering diragui apabila cuba meyakinkan orang ramai bahawa pendidikan seni sebenarnya boleh membawa impak yang besar kepada seseorang. 

“Hari ini, MuzArt memiliki lebih 50 cawangan selain dikenali sebagai jenama pendidikan seni terkemuka Malaysia. 

“MuzArt mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk tumbuh pesat di Malaysia sebelum berjaya menembusi pasaran ASEAN dengan kurikulum yang berkembang menjadi sebuah program kukuh, serta memenangi anugerah,” katanya.

Kredibiliti Shannics Teh sebagai usahawan muda wanita suatu ketika dulu pernah diragui apabila memasuki pasaran dimonopoli lelaki

Teh memberitahu, MuzArt bukan sekadar menawarkan pendidikan seni, malah sistem yang boleh memupuk kecerdasan emosi, intelek, dan kreativiti kanak-kanak.

Justeru, kata Teh, ia memberikan keyakinan untuk MuzArt mengembangkan operasi mereka ke rantau ASEAN kerana sekolah seni tersebut berpotensi menjadi penanda aras di seluruh Asia.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan peluang rentas sempadan bagi kanak-kanak dan pendidik, justeru bekerjasama dengan agensi perdagangan dan pendidikan ASEAN boleh membantu kami menavigasi landskap peraturan, membentuk pakatan pendidikan dan mempercepatkan impak.

“Dengan sokongan daripada ASEAN, MuzArt boleh memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang kreatif, bijak, dan kuat dari segi emosi di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Sun Bus Tech - Shyan Phang 

“Sekiranya peranan digalas hari ini menjadi sumber inspirasi buat ramai wanita untuk tampil menguasai bidang mobiliti dan bidang kejuruteraan, itu menunjukkan kami berjaya mencipta kemajuan yang bermakna,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sun Bus Tech Sdn Bhd (Sun Bus Tech), Shyan Phang.

Menurut Phang, meskipun Singapura kekal sebagai pasaran utama untuk Sun Bus Tech, syarikat itu melihat terdapat potensi besar di seluruh ASEAN, khususnya negara yang sedang giat memacu proses urbanisasi dan dasar pengangkutan bersih.

Kata beliau, Indonesia, Thailand, dan Filipina misalnya ketika ini sangat giat meneroka pasaran kenderaan elektrik (EV). Sehubungan itu, perbincangan giat dijalankan untuk menjadikan Sun Bus Tech sebagai rakan strategik bagi rantau ini.

“Indonesia adalah antara pelanggan berpotensi, bukan semata-mata kerana saiz pasarannya, bahkan disebabkan komitmen kuat kerajaan negara itu terhadap pembangunan infrastruktur dan mobiliti elektrik.

“Terdapat permintaan semakin meningkat terhadap penyelesaian pengangkutan yang berpatutan dan mampan, terutamanya bagi sistem transit awam di bandar dan bandar sekunder. 

Shyan Phang positif dan giat berusaha agar Sun Bus Tech menembusi pasaran lain selain Singapura untuk teknologi EV mereka di Indonesia, Thailand, dan Filipina pada masa depan

“Keupayaan CKD (completely knocked down) yang dimiliki syarikat menjadikan kami pilihan sesuai untuk usaha penyetempatan dan pembangunan tenaga kerja, selaras dengan matlamat perindustrian Indonesia,” katanya.

Phang memberitahu, dengan kewujudan platform seperti ASEAN, ia membantu menghapuskan kekangan sama ada dalam bentuk tarif perdagangan, aliran rantaian bekalan atau penjajaran piawaian teknikal.

“Mereka memberi syarikat seperti kami peluang yang lebih luas untuk meningkatkan inovasi sambil meneroka potensi bakat dan pengilang serantau. 

“Kerjasama serantau juga ibarat menghantar mesej yang kuat kepada pelabur-pelabur global bahawa Asia Tenggara sememangnya serius terhadap pembangunan mampan. 

“Usaha penyelarasan ini membolehkan kami bertindak dengan lebih pantas, menjalin kerjasama pintar dan mempercepatkan penerimaan di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Applecrumby - Jesmine Tan 

Sewaktu Applecrumby melancarkan lampin bebas klorin, ia menjadi titik tolak kepada syarikat berkenaan memainkan peranan mendidik ibu bapa mengenai tahap keselamatan bayi.

Pengasas bersama dan ketua pegawai operasinya , Jesmine Tan berkata, ketika itu kebanyakan ibu bapa kurang cakna mengenai kesan klorin dalam lampin.

“Kami antara segelintir jenama yang menawarkan tahap keselamatan sebegitu pada lampin di rantau ini. Namun, Applecrumby kekal komited. 

“Hasilnya, kami dapat melihat keyakinan terhadap jenama Applecrumby semakin meningkat dan kukuh dari semasa ke semasa. Amat memberangsangkan apabila melihat ibu bapa kini semakin berilmu. 

“Mereka membaca label, bertanya soalan malah sanggup membayar untuk apa yang dirasakan terbaik untuk anak-anak mereka. Kami berbangga apabila dapat menjadi sebahagian daripada perubahan ini,” katanya.

Pasangan suami isteri, Jesmine dan Sean pengasas produk lampin bebas klorin 100 peratus pertama di dunia 

Untuk rekod, Applecrumby sebuah jenama penjagaan bayi dari Malaysia sehingga kini sudah berjaya menembusi pasaran luar termasuk Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Dalam mengembangkan jenama, Tan berkata, Applecrumby menyedari kebanyakan negara ASEAN berkongsi perasaan sama terutama berhubung nilai kekeluargaan, keperluan produk yang dipengaruhi iklim serta permintaan yang semakin meningkat terhadap penjagaan bayi yang bersih serta bebas bahan kimia.

Menurut beliau, keadaan itu secara semula jadi menjadikan Applecrumby mempunyai daya tarikan yang meluas sehingga ke luar Malaysia.

“Apa lebih menggalakkan ialah minat organik berterusan yang kami terima daripada ibu bapa antarabangsa yang pertama kali mengenali produk kami sewaktu mengembara, atau hebahan dari mulut ke mulut atas saranan komuniti keibubapaan

“Justeru, kami memulakan perbincangan dan amat terbuka untuk bekerjasama dengan platform perdagangan serantau yang dapat meningkatkan pendedahan terhadap jenama kami serta memudahkan akses pasaran dalam ASEAN.

“Badan-badan kerjasama ASEAN berpotensi memainkan peranan penting bagi membolehkan jenama asal Malaysia seperti kami berkembang dengan bertanggungjawab dan mampan di seluruh rantau ini,” katanya.

Tan berkata, sijil halal yang diperoleh mereka turut menambah tahap kepercayaan pengguna serta meningkatkan akses kepada pasaran Indonesia yang mempunyai pengguna Muslim amat besar.

“Sijil halal bukan sahaja mengukuhkan kredibiliti kami malah mencetuskan minat baharu dalam rakan kongsi sedia ada dan rakan kongsi masa depan.

“Pengedar dan peruncit pula semakin mengiktiraf jenama Applecrumby kerana mempunyai nilai yang selari dengan kepercayaan pelanggan.

“Pematuhan sijil halal bukan lagi menjadi pilihan, ia menjadi pembeza strategik yang membuka pintu kepada saluran runcit fizikal dan dalam talian di seluruh Indonesia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen