Universiti Multimedia (MMU) melakar sejarah hari ini sebagai universiti swasta pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) sekaligus memperkukuh keupayaan negara dan aplikasinya dalam bidang tersebut.
Pelancaran FAIE di kampus MMU, Cyberjaya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MMU dalam sebuah kenyataan berkata, FAIE menekankan penggunaan AI melebihi penguasaan kukuh terhadap asas teori AI sahaja dengan memastikan pelajar serba mahir dalam mereka bentuk, melaksana dan mengintegrasi penyelesaian AI bagi kegunaan praktikal merentas industri.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, penubuhan FAIE memperbaharui program mereka bagi mempersiapkan pelajar untuk berdepan dengan ekonomi yang dipacu oleh AI.
“Kami menawarkan ijazah khusus seperti Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Robotik Pintar, selain program Sarjana dan Ph.D yang berfokuskan penyelidikan,” katanya.
Untuk rekod, fakulti tersebut dilengkapi dengan AI Transformation Centre (AIX) iaitu sebuah inisiatif utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Presiden universiti itu, hasil sokongan pelaburan bersama sebanyak RM37 juta antara MMU dan MCMC, AIX bakal menampilkan 13 makmal canggih yang menjadi hab inovasi, kerjasama kerajaan-industri-akademia, pembangunan PKS serta pemerkasaan luar bandar.
“Kami juga amat menghargai kehadiran 40 rakan industri strategik hari ini atas komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kami dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran, malah bersedia untuk industri sejak hari pertama,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris pula menegaskan, AI menjadi pemangkin generasi baharu pemikir dan inovator yang berupaya menyelesaikan masalah menggunakan teknologi, bukan sekadar peranti pintar, GPU berkuasa barisan kod.
“Oleh yang demikian, sebagai universiti dan cabang pendidikan TM sendiri, MMU sentiasa berada di teras misi kami membina masa depan digital Malaysia, melahirkan bakat yang memacu inovasi dan kemajuan.
“FAIE adalah satu lagi langkah ke hadapan untuk MMU, dan juga untuk TM sendiri, kerana ia menyokong aspirasi kami untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030.
“Kami berhasrat membentuk kumpulan pemimpin mahir AI yang dapat mengaplikasikan kepakaran mereka di tempat yang penting, serta memastikan manfaat AI dapat dirasai oleh komuniti di seluruh Malaysia,”* katanya.
Ketika majlis pelancaran fakulti tersebut, MMU dan MMC menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) yang memeterai kerjasama dua organisasi itu melalui AIX agar keupayaan pengajaran dan penyelidikan FAIE dapat diperkukuh.
AIX memainkan peranan penting sebagai wakil pelaburan nasional kepada MCMC ke arah menjadikan Malaysia sebagai kuasa serantau dalam bakat AI, inovasi dan penyelesaian berorientasikan industri.
Pusat transformasi AI itu diketuai oleh MCMC Intelligence Chair, iaitu kepimpinan strategik bagi memacu panduan jangka panjang, kelestarian dan daya saing global.
Majlis pelancaran diakhiri dengan sesi Temu Anwar yang memberi ruang buat Perdana Menteri berinteraksi, berkongsi pandangan, menjawab soalan dan memberi inspirasi buat pelajar MMU untuk turut sama membina masa depan digital Malaysia.

