malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Penduduk lega terima tawaran unit baru dalam projek pembaharuan semula bandar
ADS

WAWANCARA | Seorang penduduk 1Razak Mansion berkata, masyarakat tidak boleh selama-lamanya menolak sebarang pembaharuan semula bandar yang dicadangkan kerajaan kerana setiap inisiatif itu bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan pembangunan negara secara keseluruhan.

Justeru, Anthony Tan, menggalakkan orang ramai untuk mengambil tahu manfaat projek pembangunan semula bandar khususnya dalam usaha menangani isu bangunan daif, tidak selamat dan usang yang semakin mendesak.

“Pembangunan semula bandar di Kuala Lumpur adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. 

“Penduduk mungkin membantah pada masa ini, namun dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, pasti akan muncul projek pembangunan lain.

“Sebab itu saya galakkan semua orang agar memahami situasi pembaharuan terutama dari sudut positif tawaran yang diberikan.

“Sekiranya tawaran tersebut bersifat adil, berisiko rendah dan berpatutan, saya yakin penduduk tidak akan menolaknya,” katanya.

Tan galakkan penduduk ambil tahu manfaat pembaharuan semula bandar 

Menurut Tan, 35, sebahagian besar penduduk terdiri daripada generasi pertama yang kini merupakan warga emas lebih selesa untuk menua di kediaman yang telah lama mereka diami.

Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi sebegini, generasi muda yang lebih terbuka kepada pembaharuan semula bandar boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat yang sahih dan bermanfaat bagi meyakinkan penduduk agar menerima tawaran untuk berpindah.

“Kebanyakan penduduk warga emas ini adalah generasi pertama, maka tidak hairanlah mereka berasa lebih terikat kepada rumah sedia ada.

“Sebagai generasi ketiga, saya percaya menjadi tanggungjawab kami untuk membantu memahamkan mereka tentang kebaikan berpindah ke kediaman baharu yang lebih selesa dan luas,” katanya.

Tan berkata, antara kelebihan bekas penduduk di flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepertinya, mereka dilindungi oleh kerajaan melalui institusi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kepentingan.

Unit rumah pangsa lama yang terletak di belakang kawasan Kondominium 1Razak Mansion dahulunya terdiri daripada kediaman bersaiz kecil, dengan hanya satu atau dua bilik tidur bersama keluasan sekitar 399 hingga 504 kaki persegi.

Siti Rohani terima tawaran berpindah berbelah tahun lalu kerana tidak tahan rumah sempit dan menjadi sarang nyamuk, lipas dan tikus

Sebaliknya, Kondominium 1Razak Mansion menawarkan unit penggantian yang lebih selesa dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, berkeluasan 800 kaki persegi, serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan serba guna, tadika, pejabat persatuan penduduk dan pondok polis bagi menjamin kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, seorang warga emas meluahkan perasaan lega apabila 16 tahun lalu beliau memilih untuk menerima tawaran kediaman baharu di Residensi Kerinchi, Kuala Lumpur yang jauh lebih kondusif berbanding rumah lama.

Siti Rohani Idris mengimbau keadaan rumah asal iaitu rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi dahulu bukan sahaja sempit untuk didiami malah turut dicemari haiwan serta serangga perosak.

“Perubahan yang dialami amat ketara. Mak cik bersyukur kerana berpeluang menghuni kediaman Residensi Kerinchi yang bukan sahaja moden, malah menawarkan persekitaran yang nyaman dan menyenangkan.

“Kediaman empat tingkat yang asal menghadapi pelbagai kekurangan, termasuk masalah kesesakan penduduk dan persekitaran yang kurang bersih, ditambah pula dengan kehadiran nyamuk, lipas dan tikus yang menjejaskan kualiti hidup.

“Mak cik memang berhasrat untuk berpindah kerana rumah lama yang tiada bilik tidur sudah tidak sesuai untuk didiami dalam jangka masa panjang,” katanya.

Menurut Siti Rohani, 77, setiap penduduk yang bersetuju dengan pembaharuan semula juga dibayar pampasan sebanyak RM8,000 seorang selain disediakan beberapa kelengkapan rumah.  

Ibu kepada enam anak itu berkata, bagi komitmen bulanan, mereka perlu membayar bil penyelenggaraan serta utiliti sahaja selepas menempati rumah pangsa tiga bilik dengan dua bilik air itu.

“Pemaju sediakan mesin basuh 2 dalam 1 yang dilengkapi dengan fungsi pengering bagi setiap unit rumah selain kipas dan penghawa dingin. 

“Untuk ibu tunggal yang mempunyai ramai anak dan hidup di rumah kecil, mak cik rasa memang hendak pindah sangat sebab flat lama itu ibarat rumah setinggan apabila tinggal beramai-ramai,” katanya.

Sebagai antara penduduk awal yang bersetuju dengan projek pembangunan semula itu, Siti Rohani – yang ketika itu berperanan sebagai Ketua Wanita UMNO – berkata dia gembira apabila ramai penduduk mempertimbangkan seruannya untuk berpindah ke penempatan baharu.

Beliau berkata, sekiranya mempunyai pilihan yang lebih baik, penduduk yang ditawarkan rumah baharu disarankan agar berpindah ke tempat yang lebih selesa.

“Meskipun ada penduduk yang tidak bersetuju, saya bersyukur kerana sebahagian besar yang lain menerima pujukan saya agar berpindah.

“Tidak perlu fikirkan yang anda tidak suka sekarang, sebaliknya jika ada tempat yang lebih baik, wajarlah anda memilih untuk berpindah.

“Penduduk yang enggan berpindah akan rugi kerana mereka tidak menerima apa-apa bahkan ada juga penduduk lain yang mendapat kelebihan apabila menyewakan kediaman baru ini dengan harga RM2,000 sebulan,” katanya. 

Bagi memudahkan proses pembaharuan semula bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menggubal Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar bagi menurunkan ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 75 peratus bagi bangunan yang berusia lebih daripada 30 tahun.

Rang undang-undang tersebut menekankan prinsip “no less favourable”, iaitu pemilik asal diberi jaminan bahawa syarat-syarat yang ditawarkan adalah sama atau lebih baik daripada unit asal dari segi saiz, nilai dan infrastruktur.

Di bawah rang undang-undang ini, Jawatankuasa Pengantaraan akan ditubuhkan di peringkat persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan sebarang pertikaian dan mempertahankan hak pemilik.

Jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh sekurang-kurangnya lima orang dan tiga orang terdiri daripada ahli yang berpengalaman dalam bidang perundangan, pengurusan projek, ekonomi atau sosiologi, serta tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!