malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Serah kepada agong, majlis raja-raja selesaikan isu pelantikan hakim
ADS

WAWANCARA | Seorang peguam berpandangan, rakyat perlu menghormati titah daripada Istana Negara kerana isu pelantikan pengganti ketua hakim negara bukan semata-mata di tangan perdana menteri.

Menurut peguam Dr Zulqarnain Lukman, pelantikan itu sebaliknya turut melibatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja.

“Kita tidak perlu menambahkan lagi kekalutan dengan menganjurkan seminar atau perhimpunan yang hanya akan memarakkan suasana. 

“Saya berpendapat pelantikan hakim-hakim ini akan selesai tidak lama lagi kerana pihak Istana Negara sendiri pun sudah mengeluarkan kenyataan. 

“Dalam hal ini kita patut serahkan urusan pelantikan ini kepada mereka yang diberikan autoriti oleh perlembagaan iaitu Yang di-Pertuan Agong, perdana menteri dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Menurut Zulqarnain, selagi proses itu masih teratur dan mematuhi peruntukan dalam perlembagaan, masyarakat tidak perlu terbuai dengan emosi dan marah kononnya berlaku krisis kehakiman.

Kata beliau, siapa yang layak menerajui kedudukan tertinggi kehakiman adalah senario hari ini yang bersifat sementara.

“Krisis kehakiman sebenarnya tidak wujud jika kita merujuk kepada krisis kepercayaan orang ramai terhadap institusi kehakiman seperti yang berlaku kepada Allahyarham Tun Salleh Abbas atau seperti yang berlaku dalam kes Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) VK Lingam,” katanya.

Dr Zulqarnain berkata, tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap dokumen yang bocor itu kerana kita tidak mendapat maklumat yang penuh

Zulqarnain sebaliknya menegaskan kepentingan untuk menilai bagaimana kebocoran dakwaan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) boleh berlaku dan ia tentu melibatkan orang dalam institusi itu sendiri.

Beliau berkata, kebocoran itu bersifat mala fide (jahat) kerana hanya enam muka surat minit mesyuarat JAC yang dibocorkan sedangkan dokumen itu mempunyai 21 muka surat.

“Oleh itu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap dokumen yang bocor itu kerana kita tidak mendapat maklumat yang penuh,” katanya.

Menurut Zulqarnain, berdasarkan maklumat yang bocor itu, jelas dalam badan kehakiman sendiri mempunya agenda politik yang tersendiri dan memberi gambaran ada pihak yang mahukan individu tertentu menjawat jawatan tinggi tersebut.

“Bagi saya ini yang merosakkan nama baik kehakiman, iaitu apabila perkara yang bocor itu menimbulkan polemik yang tidak baik terhadap calon-calon yang bakal menjawat jawatan tertinggi kehakiman,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis telah melancarkan siasatan di bawah OSA berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC.

Khalid berkata, siasatan itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Klasifikasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan memfokuskan kepada bagaimana maklumat dalaman itu boleh terdedah dan tersebar di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!