malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Kerjasama erat KL-BRICS tingkatkan keterlihatan negara di mata global
ADS

WAWANCARA | Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil, Itali dan Perancis baru-baru ini dijangka membawa pulangan atau potensi dalam bentuk perjanjian dan prospek Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang dijangka menjadi kenyataan seawal tahun hadapan.

Pakar ekonomi Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, lawatan itu bukan sahaja membuka ruang baharu dalam kerjasama politik dan ekonomi, malah turut mencerminkan usaha aktif Malaysia mencari pasaran baharu bagi menggandakan akses eksport negara.

Kata beliau, sekiranya pelaburan itu direalisasikan, ia dijangka membawa beberapa impak positif.

“Saya melihat lawatan Perdana Menteri ke tiga-tiga negara itu mencapai matlamatnya iaitu selain mengeratkan hubungan politik dan ekonomi, ia berhasil mendapatkan komitmen pelaburan antara negara yang diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih pesat kepada Malaysia dalam tahun mendatang.

“Selain itu, banyak peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan yang menjanjikan gaji yang lebih kompetitif dan bermaruah, ini secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat. 

“Ia juga membuka peluang pemain industri tempatan untuk meluaskan pasaran eksport mereka dan pemindahan teknologi kepada kita,” katanya.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School itu berkata, kehadiran Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS di Brazil sebagai negara rakan juga meningkatkan keterlihatan negara dalam blok Selatan Global.

Menurut beliau, kerjasama lebih erat dengan negara anggota BRICS membuka peluang baharu untuk pasaran eksport serta mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat.

“Jika kita hanya duduk dalam negara dan menunggu, banyak potensi pelaburan akan terlepas begitu sahaja. 

“Kita bukan kuasa ekonomi besar seperti AS atau China, jadi inisiatif agresif seperti ini penting untuk kelangsungan dan kemajuan ekonomi negara,” katanya.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil dari 1 hingga 7 Julai lalu telah membuka lembaran baharu dalam kerjasama ekonomi Malaysia, dengan potensi pelaburan melebihi RM8 bilion di Itali dan sekitar RM4 bilion di Perancis.

Anwar menyifatkan lawatan ke Rio de Janeiro, Brazil ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 sebagai satu kejayaan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.

Sementara itu, Anwar melalui hantarannya di Facebook berkata, lawatan ke tiga negara berkenaan membawa misi besar buat Kerajaan Madani dalam mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya saing serta rakan dagang strategik di peringkat antarabangsa.

Kata beliau, hasil rangkaian pertemuan berprofil tinggi dan perbincangan mendalam, Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan berbilion ringgit meliputi pelbagai sektor antaranya teknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga mampan dan inovasi.

“Pelaburan berkualiti ini bukan sahaja memperkukuh asas ekonomi negara, malah berpotensi menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.

“Di pentas BRICS, saya menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dan berprinsip dalam memperjuangkan kerjasama global yang lebih adil, saksama dan berteraskan keamanan sejagat. 

“Diplomasi yang dilaksanakan bukan sekadar menjalin hubungan, tetapi membawa impak konkrit terhadap kesejahteraan rakyat dan kelangsungan masa depan negara. Ia mencerminkan pendekatan Kerajaan Madani yang berpandangan jauh, progresif dan berteraskan kepentingan nasional,” katanya.

Lawatan itu turut memperkukuh hubungan dua hala yang erat dan saling menguntungkan dengan rakan-rakan strategik di Eropah, Amerika Latin dan negara anggota BRICS, selain memperkasa peranan Malaysia dalam memantapkan agenda pembangunan negara Selatan Global.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen