malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Kerjasama serantau diperhebat: Sorotan Mesyuarat SOMTC Ke-25 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Putrajaya
Diterbitkan:  Jun 30, 2025 3:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM
ADS

Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) Ke-25 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan telah dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut di Putrajaya dengan kehadiran seramai 200 orang delegasi. Mesyuarat berprofil tinggi ini merupakan antara platform utama bagi negara-negara anggota ASEAN untuk menyelaraskan tindakan serantau dalam memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk ancaman-ancaman keselamatan moden seperti pemerdagangan orang, pengubahan wang haram dan jenayah siber.

Hari Pertama (24 Jun 2025): Pembukaan Rasmi dan Usul Strategik Malaysia

Perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri. Mesyuarat hari pertama diteruskan dengan Sesi Plenari yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia. 

Dalam sesi ini, wakil negara-negara anggota ASEAN berkongsi amalan terbaik, cabaran semasa dan inisiatif dasar terkini dalam memerangi jenayah rentas sempadan. Delegasi Malaysia menonjolkan pelbagai inisiatif, antaranya langkah penguatkuasaan bersepadu di pintu masuk negara, pemantauan aktiviti pendatang asing tanpa izin (PATI) serta usaha bersepadu dengan agensi penguatkuasaan.

Malaysia juga telah mencadangkan pembentukan Kumpulan Kerja SOMTC Mengenai Pengubahan Wang Haram, bagi menangani aliran kewangan haram di rantau ini serta  pembangunan Pelan Tindakan Membanteras Jenayah Rentas Sempadan ASEAN (2026-2035). Cadangan ini telah diterima baik oleh negara-negara anggota dan disyorkan untuk dibentangkan di Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) yang akan datang pada September 2025.

Mesyuarat turut membincangkan isu pembiayaan operasi keselamatan dan kerjasama teknikal dengan rakan dialog seperti United Kingdom, UNODC dan ASEAN-ACT. Pembentangan daripada pihak-pihak ini memberi gambaran luas tentang skop kerjasama masa hadapan dalam bidang jenayah siber, pembangunan kapasiti dan pemetaan strategik risiko keselamatan serantau.

Turut berlangsung pada hari pertama ialah Sesi Pemukiman Ketua-Ketua Delegasi, di mana Ketua-Ketua Delegasi SOMTC telah bertukar pandangan mengenai peluasan skop jenayah siber dan kolaborasi serantau dalam pendanaan.

Hari Kedua (25 Jun 2025): Konsultasi Rakan Dialog ASEAN

Mesyuarat diteruskan dengan empat (4) sesi Konsultasi SOMTC bersama Rakan Dialog ASEAN, iaitu:

  1. SOMTC + Kanada Ke-13, dipengerusikan bersama oleh Lao PDR.

  2. SOMTC + New Zealand Ke-13, dipengerusikan bersama oleh Viet Nam.

  3. SOMTC + India Ke-12, dipengerusikan bersama oleh Filipina.

  4. SOMTC + Rusia Ke-12, dipengerusikan bersama oleh Myanmar.

Malaysia telah menyampaikan intervensi substantif dalam pelbagai aspek kerjasama strategik, antaranya:

  • Penguatan pembangunan kapasiti melalui latihan teknikal dan pertukaran pegawai.

  • Pemerkasaan penggunaan teknologi dalam pengesanan jenayah digital.

  • Pengwujudan protokol perkongsian maklumat risikan rentas sempadan.

Sesi konsultasi ini turut menjadi peluang untuk meneroka sinergi teknologi dan pertukaran kepakaran, sejajar dengan peranan Malaysia dalam memacu pendigitalan sektor penguatkuasaan keselamatan. Sesi mesyuarat pada hari kedua diadakan secara separuh hari, disusuli dengan aktiviti sampingan tidak rasmi bagi menggalakkan hubungan mesra antara delegasi.

Hari Ketiga (26 Jun 2025): Kepimpinan Malaysia dalam Konsultasi Multilateral

Malaysia meneruskan peranannya dalam arena serantau apabila YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman bertindak sebagai Pengerusi Bersama dalam dua sesi konsultasi penting:

  • Mesyuarat Konsultasi SOMTC + 3 Ke-22, melibatkan Jepun, China dan Korea Selatan, bersama TYT Minami Hiroyuki dari Jepun.

  • Mesyuarat Konsultasi SOMTC + China Ke-22, bersama TYT Jun Tan dari Republik Rakyat China.

Selain itu, beberapa sesi konsultasi yang turut dilaksanakan ialah:

  • Mesyuarat Konsultasi SOMTC + Jepun Ke-21 dipengerusikan bersama oleh Singapura;

  • Mesyuarat Konsultasi SOMTC + Republik Korea Ke-18 dipengerusikan bersama oleh Thailand;

  • Mesyuarat Konsultasi SOMTC + Australia Ke-19 dipengerusikan bersama oleh Indonesia;

  • Mesyuarat Konsultasi SOMTC + Kesatuan Eropah (EU) Ke-13 dipengerusikan bersama oleh Brunei Darussalam; dan

  • Mesyuarat Konsultasi SOMTC + Amerika Syarikat Ke-17 dipengerusikan bersama oleh Cambodia.

Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama praktikal, meningkatkan perkongsian maklumat serta membangunkan keupayaan anggota dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

Pertemuan Dua Hala: Diplomasi Pelbagai Lapisan

Sepanjang tiga hari mesyuarat, pelbagai pertemuan dua hala telah berlangsung antara Malaysia dan rakan-rakan strategik termasuk Singapura, Amerika Syarikat, Australia, India, United Kingdom dan Kanada.

Antaranya, perbincangan turut menyentuh:

  • Penyelarasan pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

  • Penyediaan laluan latihan bersama serta platform maklumat digital serantau.

Mengukuhkan Keutuhan Serantau dalam Era Baharu

Mesyuarat SOMTC Ke-25 telah menjadi landasan penting dalam memperkukuh kerjasama keselamatan serantau, selaras dengan hasrat ASEAN untuk menjadi sebuah rantau yang aman, berdaya tahan dan bebas daripada ancaman jenayah rentas sempadan.

Malaysia memperteguh peranannya sebagai peneraju dalam aspek penyelarasan dasar, perundingan strategik dan kerjasama operasi, sekali gus memperkukuh naratif bahawa keselamatan ASEAN bukan sahaja tanggungjawab kolektif tetapi juga memerlukan tindakan proaktif dan pemikiran strategik jangka panjang yang selari dengan tema ‘keterangkuman dan kemampanan’ sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.


Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!