Kuala Lumpur, 26 Jun 2025 – KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (“AGM”) ke-32, membentangkan pelaksanaan berterusan strategi transformasi di bawah KPJ Health System, serta melaporkan prestasi kewangan kukuh bagi tahun kewangan 2024 dan permulaan tahun 2025 yang stabil.
Bagi tahun kewangan 2024, KPJ Healthcare telah melabur sebanyak RM406 juta dalam perbelanjaan modal, meningkat 66% berbanding tahun sebelumnya. Pelaburan ini merangkumi penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan digital serta pelancaran hospital ke-30 iaitu Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor. Keseluruhan inisiatif ini selaras dengan strategi jangka panjang KPJ untuk membina sistem penjagaan kesihatan bersepadu yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dato' Sri Dr. Ismail Bakar, berkata dalam ucapannya, “2024 merupakan tahun penting bagi KPJ. Selain mencatat prestasi kewangan yang kukuh, kami terus melaksanakan usaha penambahbaikan strategik menerusi KPJ Health System, sebuah rangka kerja yang menyepadukan penjagaan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan. Strategi ini memperkukuh komitmen kami untuk meningkatkan hasil kesihatan serta memberi nilai jangka panjang.
Seiring dengan pelaksanaan agenda transformasinya, KPJ Healthcare kekal fokus kepada usaha memperkukuh keupayaan bagi menyokong keperluan masa hadapan, khususnya dalam bidang pendigitalan, pembangunan bakat dan model penjagaan bersepadu.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, menyatakan bahawa Kumpulan terus melaksanakan strategi jangka panjang bagi menyokong pertumbuhan mampan. “Kami sedang membina keupayaan masa depan dengan memperluas kumpulan pakar, mempertingkatkan keupayaan penyelidikan serta memperkenalkan penyelesaian digital cara menyeluruh di seluruh organisasi. Usaha ini penting untuk meningkatkan hasil rawatan serta memperkukuh kedudukan KPJ sebagai penyedia penjagaan kesihatan bersepadu yang terkemuka di rantau ini,” tambah Chin.
Sepanjang tahun 2024, KPJ terus memperkukuh ekosistem digitalnya melalui penerapan teknologi pintar, diagnostik berasaskan AI dan penambahbaikan aplikasi mudah alih KPJ Cares. Kumpulan juga terus komited menyokong agenda kelestarian, merangkumi inisiatif alam sekitar dan kesihatan komuniti di bawah rangkaian Klinik Waqaf An-Nur, selaras dengan aspirasi KPJ untuk mencapai Sifar Bersih menjelang 2050.
Melangkah ke hadapan, KPJ akan terus memajukan pembangunan Pusat Kecemerlangan (“Centre of Excellence”) memperkukuh integrasi antara teras klinikal, penyelidikan dan pendidikan, serta mengoptimumkan operasi hospital di bawah KPJ Health System. Mengekalkan momentum tersebut, KPJ turut menjadi tuan rumah bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi penganjuran Malaysia International Healthcare (“MIH”) Megatrends 2025 yang akan berlangsung dari 25 hingga 27 November 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Menerusi usaha kolektif ini, Kumpulan kekal komited untuk mengukuhkan kedudukannya di peringkat serantau sambil terus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses kepada komuniti di seluruh negara.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]

