Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh peranannya dalam memimpin agenda keselamatan serantau melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. Sejak awal tahun ini, KDN telah menganjurkan beberapa mesyuarat penting yang menyentuh pelbagai aspek jenayah rentas sempadan.
Sebagai pembuka tirai, Mesyuarat SOMTC Working Group on General Transnational Crime Matters ke-3 telah berlangsung di Johor Bahru pada 4 Februari 2025. Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia telah terlibat dalam perbincangan semakan semula senarai Bidang Keutamaan SOMTC dan mencadangkan penubuhan SOMTC Working Group on Money Laundering, sekali gus memperkukuh usaha rantau ini dalam memerangi jenayah kewangan.
KDN turut menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat ASEAN Heads of Specialist Anti-Trafficking Units (HSU) ke-39 dan Mesyuarat Pertama SOMTC Working Group on People Smuggling, yang berlangsung berturut-turut di Pulau Pinang pada 18 dan 19 Februari 2025. Kedua-dua mesyuarat ini adalah platform penting bagi pertukaran maklumat, strategi, dan amalan terbaik antara negara anggota ASEAN dalam usaha kolektif menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia.
Seiring dengan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, KDN diberi tanggungjawab untuk menerajui inisiatif merangka dua dokumen penting — iaitu ASEAN Plan of Action in Combatting Transnational Crime (2026–2035) dan SOMTC Work Programme 2026–2028 — yang dijangka akan dibentangkan dalam Mesyuarat ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC) ke-25 pada Jun 2025 di Putrajaya.
Selain itu, KDN juga akan memainkan peranan penting dalam memudahcara penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, khususnya melalui pematuhan terhadap tiga instrumen penting iaitu ASEAN Convention on Counter Terrorism (ACCT), ASEAN Convention Against Trafficking in Persons, Especially Women and Children (ACTIP) dan ASEAN Framework Agreement on Visa Exemption. Langkah ini sejajar dengan komitmen ASEAN untuk memastikan integrasi yang inklusif dan bersedia dari segi keselamatan.
Dengan pelaksanaan agenda-agenda ini, KDN memperlihatkan komitmen teguh Malaysia dalam menerajui usaha serantau memerangi jenayah rentas sempadan. Kepimpinan yang proaktif ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia di arena ASEAN, malah mencerminkan iltizam negara dalam memastikan keselamatan dan kestabilan serantau terus terjamin.
Kandungan ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]

