malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Bagaimana Elektrifikasi Luar Bandar Mengubah Hidup di Pelosok Semenanjung
ADS

Bekalan tenaga elektrik adalah antara perkara yang kurang difikirkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia, sehinggalah ia terputus. Namun bagi beberapa komuniti di luar bandar, malam sering kali diselubungi gelap, dan siang penuh keterbatasan.

Untuk merapatkan jurang ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sedang melaksanakan Program Elektrifikasi Luar Bandar bagi menyediakan bekalan elektrik yang mampan kepada komuniti luar bandar.

Inisiatif TNB ini memberikan tumpuan kepada 25 kampung di Perak, Pahang dan Johor, dengan lima buah kampung sudah pun menerima bekalan elektrik. Sebelum projek elektrifikasi luar bandar dilaksanakan, kehidupan di kawasan ini bagai tidak tersentuh arus kemodenan.

Anak-anak terpaksa belajar bertemankan cahaya pelita, ibu bapa bergelut memasak dan menjaga anak dalam keadaan panas dan gelap, manakala malam yang sepi sering mengundang rasa tidak selamat.

Tanpa peti sejuk, tanpa soket untuk mengecas telefon, tanpa kipas untuk menyejukkan malam, kehidupan seharian penuh dengan cabaran.

“Dulu kami cuma guna lampu gasolin dan pelita minyak tanah, tapi sekarang, kalau tiada elektrik walau sekejap pun, rasa hidup tak lengkap. Jika anak-anak nak belajar, cahaya dan tenaga elektrik itu bukan lagi kemewahan, ia satu keperluan,” kata Ishak bin Sulaiman, dari Simpang Empat, Perlis.

“Sekarang bila dah ada elektrik, segala-galanya jadi lebih mudah. Nak mengaji Al-Quran pun senang, tak perlu lagi bergelap atau bergantung pada pelita kecil. Budak-budak pun seronok boleh bermain, belajar, dan membesar dalam suasana yang lebih selesa. Kehadiran elektrik membawa perubahan besar dalam kehidupan seharian kami,” kata Daud bin Awang Kechik dari Machang, Kelantan.

Pasangan suami isteri dari Asahan, Melaka berkata, dahulu bekalan elektrik di kawasan mereka sering terputus dan kerap mengalami gangguan. Namun kini, gangguan semakin berkurangan, dan jika berlaku sebarang masalah, mereka hanya perlu menghubungi TNB dan satu pasukan akan segera hadir untuk menyelesaikannya demi keselesaan penduduk.

Soon Beng Hock dari Kuala Kangsar, Perak pula meluahkan rasa puas hati dengan kemudahan bekalan elektrik yang dinikmati. Menurutnya, kehidupan menjadi lebih mudah kerana kini hanya perlu tekan suis dan lampu terus menyala terang. “Rumah tidak lagi bergelap seperti dahulu. Terima kasih kepada TNB kerana membekalkan elektrik yang stabil dan memudahkan urusan harian,” katanya.

Bagi Mariam binti Tirto yang menetap di Batang Benar, Negeri Sembilan, perubahan yang dibawa oleh bekalan elektrik sangat besar ertinya. Dahulu, segalanya terbatas, tiada televisyen, radio, malah peti ais pun tidak dapat dimiliki kerana ketiadaan elektrik. Namun kini, segalanya berubah. Kehidupan menjadi lebih selesa dan peralatan elektrik dapat digunakan.

Menurut anaknya, Nasaruddin Harun pula, ketiadaan elektrik bukan sekadar kekurangan kemudahan, tetapi satu petanda ketinggalan zaman. Hari ini, hampir semua aspek kehidupan daripada pendidikan, industri, pentadbiran hingga teknologi bergantung kepada tenaga elektrik. Ia bukan sekadar satu keperluan asas, tetapi pemangkin utama kepada pembangunan dan kemajuan negara.

TNB Merapatkan Jurang 

Cabaran menyediakan elektrik ke kawasan luar bandar bukan mudah. Ia memerlukan perancangan terperinci, kepakaran teknikal dan kerjasama dengan komuniti setempat. Namun bagi TNB, ini bukan sekadar projek. Ia adalah amanah untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih tenang.

Antara pendekatan utama dalam strategi elektrifikasi luar bandar TNB termasuk:

1. Sambungan ke Grid Nasional

Melalui Projek Lampu Jalan Kampung (LJK) Fasa 11, sebanyak 14,210 lampu jalan LED dipasang di seluruh Semenanjung dan Sabah, meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk.

2. Penyelesaian Luar Grid

Bagi kawasan yang terlalu jauh atau sukar disambungkan ke grid, TNB menggunakan sistem solar fotovoltaik (PV) dan mikro-hidro yang mesra alam. Teknologi ini memaksimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

3. Sistem Hibrid

Di sesetengah lokasi, seperti Kampung Orang Asli Melai di Pahang, TNB menggunakan gabungan solar, janakuasa diesel dan sistem simpanan tenaga bateri (Battery Energy Storage System, BESS). Dengan kapasiti 15.93 kWp dan 28.8 kWh, sistem ini membekalkan tenaga stabil kepada 31 rumah dan kemudahan komuniti.

4. Pendekatan Berasaskan Komuniti

TNB melibatkan ketua kampung dan penduduk setempat dalam pelaksanaan projek, sambil memberikan latihan asas agar komuniti dapat menyelenggara sistem elektrik dan menjaga kemudahan yang disediakan secara berterusan.

Inisiatif elektrifikasi luar bandar ini adalah bukti nyata misi TNB untuk menyokong pembangunan negara secara inklusif dan seimbang. Ia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keadilan sosial, keterangkuman dan daya saing demi kesejahteraan seluruh rakyat, termasuk mereka yang tinggal jauh dari bandar.

Dengan setiap suis yang dinyalakan, TNB bukan sahaja membawa cahaya tetapi juga harapan.

Untuk maklumat lanjut tentang usaha elektrifikasi luar bandar oleh TNB, layari: https://www.tnb.com.my/sustainability/esg-stories-tnb-rural-electrification-communities 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!