WAWANCARA | Isu berkaitan pelaksanaan cukai baharu, kenaikan harga barangan serta penyasaran subsidi bukanlah fenomena asing dalam landskap pentadbiran ekonomi negara.
Sebaliknya, ia merupakan sebahagian agenda berterusan yang dirancang, dinilai dan dikawal pelaksanaannya secara teliti sama ada oleh kerajaan dahulu mahupun kini.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban, Negeri Sembilan, Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad, menjelaskan pengenalan cukai baharu dari semasa ke semasa adalah antara pendekatan strategik kerajaan untuk menambah hasil pendapatan negara bagi menyokong kelestarian fiskal.
Menurut Bashir Ahmad, pelaksanaan cukai tersebut dibuat secara bersasar berdasarkan permintaan dan penawaran terhadap barangan serta perkhidmatan tertentu, melibatkan golongan masyarakat dan sektor perniagaan yang telah dikategorikan dengan teliti.
“Mengikut data ekonomi semasa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan peningkatan daripada 3.8 peratus kepada 5.8 peratus bagi tempoh 2022 hingga 2024.
“Malaysia juga merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM32 bilion pada penghujung 2024, dengan jumlah pendapatan keseluruhan melebihi RM313 bilion setahun serta jumlah perdagangan mencecah hampir RM2.88 trilion,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kadar inflasi negara kekal stabil di bawah 2.5 peratus sepanjang dua tahun terakhir, manakala kadar pengangguran purata pula berada sekitar 3.0 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024.
“Tambahan pula, kedudukan defisit fiskal negara menunjukkan trend penurunan, iaitu daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM85.7 bilion pada tahun lalu.
“Ini mencerminkan tahap disiplin fiskal yang kukuh,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Bashir Ahmad berpendapat prestasi ekonomi negara secara keseluruhan masih berada di landasan yang baik dan stabil meskipun dipengaruhi sentimen ekonomi global.
Namun, katanya, asas pertumbuhan domestik yang kukuh serta pelaksanaan dasar fiskal yang mampan, ditambah pula kerancakan pertumbuhan domestik yang meyakinkan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara secara berterusan.
Mengulas pemberian subsidi pukal yang diamalkan sebelum ini, Bashir Ahmad berkata, pendekatan itu mengakibatkan ketirisan besar yang akhirnya membebankan kedudukan kewangan negara dalam jangka panjang.
Hal itu, kata beliau, berlaku disebabkan subsidi berkenaan dinikmati oleh sesiapa sahaja tanpa mengira tahap pendapatan mahupun status kewarganegaraan.
Justeru, menurutnya, pendekatan subsidi pukal tidak adil dan tidak mengimbangi keperluan bantuan ekonomi negara kepada rakyat.
“Harga diesel yang mahal di kedua-dua sempadan Malaysia menyebabkan penyeludupan berlaku walaupun terdapat kawal selia. Ia merugikan negara hingga berbilion-bilion ringgit.
“Golongan yang menikmati kelebihan itu pula tiada kaitan malah tidak layak menikmati hasil subsidi minyak yang sebenarnya diperuntukkan untuk rakyat Malaysia dan ini diperolehi melalui kutipan hasil duit cukai kita,” katanya.
Bashir Ahmad berpandangan, pelaksanaan subsidi bersasar membolehkan kerajaan mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan negara dengan lebih efektif.
Menurut beliau, lebihan dana hasil daripada penstrukturan semula subsidi pula boleh disalurkan kepada inisiatif kebajikan lain, bantuan bersasar kerajaan serta menyokong pembangunan ekonomi negara.
Justeru, pensyarah kanan itu menegaskan, pendekatan subsidi bersasar adalah lebih adil dari segi pengagihan kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan.

“Keutamaan kerajaan ialah memastikan bantuan sampai kepada kumpulan rentan yang terkesan dengan kos sara hidup dan tekanan ekonomi semasa.
“Apa yang lebih penting ialah memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar yang telah dikenal pasti, pelaksanaannya pula secara berhemah, jitu, telus dan menyeluruh,” katanya.
Bashir Ahmad juga mengingatkan bantuan sekali bayar (one off payment) dari sumber seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Bank Negara atau Dana Tidak Dituntut bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap isu perhutangan negara kerana ia bersifat sementara.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perlu memberi fokus kepada kerangka perolehan pendapatan yang lebih efisien, stabil dan menyeluruh seperti apa yang dapat dilakukan melalui cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menebalkan kantung negara sekali gus mampu mengimbangi nisbah defisit sedia ada.
“Dalam konteks hutang, apa yang lebih penting ialah melihat kepada kemampuan kerajaan membayar faedah termasuk pokok atau prinsipal dilaksanakan mengikut sukatan masa yang telah diperuntukan dan kedudukan struktur ekonomi serta hasil pendapatan Malaysia.
“Kita melihat sehingga kini tiada rekod atau isu kepada kelewatan pembayaran hutang-hutang sedia ada.
“Ini dapat juga dibuktikan dengan melihat kepada kejayaan kerajaan dalam menangani hutang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hampir berjaya dikurangkan kepada 95 peratus atau pembayaran balik sebanyak RM48 billion telah dilakukan dengan baki bayaran yang tinggal sekitar RM5 bilion sahaja dengan tempoh masa penyelesaian sehingga tahun 2039,” katanya.
Menurut Bashir Ahmad, secara umumnya penanda aras yang digunakan bagi menilai tahap kewangan negara membangun ialah nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60 peratus.
Bermaksud, katanya, daripada keseluruhan pendapatan negara, tidak lebih 60 peratus digunakan untuk membayar hutang, manakala selebihnya diperuntukkan untuk perbelanjaan dan pembangunan negara.
“Bagi konteks Malaysia, nisbah hutang kepada KDNK kini sekitar 64 peratus, dan masih dianggap stabil serta di bawah paras amaran. Kerajaan juga komited untuk menurunkannya kepada sekitar 60 peratus menjelang tahun 2030.

“Antara langkah utama yang sedang diambil termasuk rasionalisasi subsidi, peluasan kutipan cukai melalui cukai jualan dan perkhidmatan (SST), mengurangkan ketirisan perbelanjaan, serta penambahbaikan proses perolehan kerajaan seperti yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.
Kesimpulannya, Bashir Ahmad berkata, peningkatan hutang negara berpunca daripada defisit belanjawan yang berterusan selama lebih 20 tahun, ditambah kesan pandemik Covid-19 mengurangkan pendapatan negara dan memaksa kerajaan memperkenalkan bajet tambahan demi melindungi rakyat.
Namun, katanya, untuk menyelesaikan masalah hutang, pendekatan perlu dilihat dari segi keupayaan negara untuk mengurus dan membayarnya mengikut jadual serta kebolehan menjana pendapatan melalui pertumbuhan ekonomi yang pelbagai dan dasar fiskal yang seimbang.
Beliau menegaskan Malaysia masih berada dalam kedudukan yang stabil, dengan asas ekonomi yang kukuh dan ruang untuk melaksanakan penambahbaikan jangka sederhana.
Sebagai perbandingan, Ahmad Bashir menyebut, AS masih berupaya mengekalkan kestabilan ekonomi meskipun mencatat nisbah hutang kepada KDNK melebihi 100 peratus, dan hutang negara itu mencecah AS$31 trilion.
“Oleh itu, situasi Malaysia tidaklah seteruk yang digambarkan segelintir pihak kesan daripada peningkatan hutang yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, ada pihak mendakwa pentadbiran ekonomi Kerajaan MADANI gagal, dengan alasan rakyat kini terbeban oleh cukai baharu, kenaikan harga barang, dan pengurangan subsidi.
Mereka juga mendakwa kelemahan itu boleh dibuktikan melalui data kewangan negara dari tahun 2022 hingga 2025, termasuk hasil negara yang dikatakan lebih rendah walaupun cukai baharu telah diperkenalkan.

