malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Pelarasan SST langkah reformasi fiskal MADANI
ADS

Langkah kerajaan melaksanakan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya merupakan langkah reformasi fiskal Madani yang bersasar.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) pelaksanaan semula SST adalah satu strategi bagi meningkatkan pendapatan Malaysia tanpa menambah beban hutang, seterusnya memperkukuh kedudukan kewangan negara serta mengelakkan risiko krisis ekonomi dalam jangka panjang.

“Negara seperti Malaysia memerlukan sumber pendapatan yang mampan bagi memastikan perbelanjaan awam dapat dilakukan secara bertanggungjawab demi kepentingan generasi akan datang.

“Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilihat sebagai pendekatan kasar yang mempercepatkan inflasi manakala SST lebih berhati-hati dan bertanggungjawab, tanpa menggugat kuasa beli rakyat,” katanya dalam kenyataan.

MOF menjelaskan pelaksanaan cukai baharu itu disasarkan kepada barangan dan perkhidmatan mewah, bukan keperluan asas harian, justeru, rakyat biasa akan terus dilindungi daripada tekanan kenaikan kos sara hidup.

“Antara perkhidmatan yang terlibat dalam cukai itu termasuklah perkhidmatan kewangan mewah, kecantikan dan penyewaan komersial, manakala barangan keperluan asas seperti makanan asas dikecualikan.

“Inilah yang dimaksudkan cukai bersasar dan adil, iaitu mampu menyumbang dan membantu negara dengan lebih baik dan pada masa sama secara tidak langsung mewujudkan sistem percukaian yang lebih adil apabila golongan berkemampuan menyumbang lebih kepada hasil negara. 

“Ini bermaksud majoriti rakyat tidak terbeban, malah berpeluang menikmati kestabilan harga bagi barangan keperluan harian,” katanya.

MOF menjelaskan pelaksanaan SST versi baharu itu tidak menyerupai struktur GST terdahulu yang dikenakan ke atas hampir semua barangan serta perkhidmatan.

Menurut kenyataan itu lagi, sistem GST bersifat menyeluruh dan memberi tekanan kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira status mereka sama ada kaya atau miskin.

Pelaksanaan SST versi baharu tidak menyerupai struktur GST terdahulu, yang dikenakan ke atas hampir semua barangan serta perkhidmatan.

Keadaan itu katanya menyebabkan beban kewangan ditanggung secara menyeluruh, namun hasil kutipan cukai tersebut tidak disalurkan secara langsung dan jelas kepada rakyat. 

“Sebaliknya SST mengekang jurang dan melindungi kumpulan rentan. Hasil kutipan daripada pelaksanaan SST disalurkan secara telus kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan awal persekolahan, serta pembangunan infrastruktur awam.

“Langkah ini merupakan satu bentuk pelaburan semula hasil negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” kata kenyataan berkenaan.

Selain itu, kerajaan turut mengambil kira manfaat pelaksanaan SST terhadap sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dilihat lebih mesra perniagaan serta mampu memberikan perlindungan kepada golongan usahawan terbabit.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai langkah sokongan terhadap keperluan PKS, kerajaan memberikan kelonggaran sehingga hujung tahun ini bagi pelaksanaan penuh SST. Maksudnya sehingga tempoh tersebut berakhir, tiada sebarang denda atau penalti dikenakan jika ia tidak dilaksanakan.

“Pengecualian cukai juga diberikan kepada sektor tertentu untuk mengelak kesan bertindih. Ini membantu perniagaan kecil untuk terus berkembang tanpa gangguan besar.

“GST menambah beban pematuhan kepada semua perniagaan besar atau kecil manakala SST baharu lebih fleksibel dan bertimbang rasa terhadap PKS,” katanya.

Kerajaan akan melaksanakan semakan semula kadar cukai jualan dan perluasan skop cukai perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025, pelaksanaan SST akan dibuat secara bersasar bagi memastikan rakyat kebanyakan tidak terbeban manakala  barangan asas harian serta perkhidmatan asas tidak dinaikkan cukai jualan atau dikenakan cukai perkhidmatan.

Susulan pengumuman belanjawan itu juga, sesi libat urus giat dilaksanakan bersama pihak berkepentingan terutama persatuan industri serta ejen percukaian bagi meningkatkan kefahaman dan mematikan pelaksanaan SST yang lebih teratur dan berkesan.

Beberapa cadangan telah diterima melalui libaturus tersebut dan telah diambil kira ke arah mengurangkan kesan kepada rakyat dan industri

Menurut MOF, kerajaan melaksanakan perluasan SST bagi menjana hasil tambahan untuk menampung peningkatan perbelanjaan yang komited, terutamanya bantuan rakyat, perkhidmatan kesihatan dan Pendidikan. 

Langkah itu penting untuk mewujudkan ruang fiskal terutamanya untuk tahun 2026 dan 2027.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!