10th JUNE 2025 - Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET, Ahmad Zahid Hamidi telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Khas Hari TVET Negara 2025. Sambutan Hari TVET Negara 2025 akan berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Jun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), dengan sasaran kehadiran melebihi 150,000 pengunjung. Acara berimpak tinggi ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 12 Jun, menzahirkan iltizam Kerajaan MADANI dalam menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan negara.
Mengangkat tema "TVET Pilihan Utama Kerjaya", sambutan ini menghimpunkan penyertaan meluas daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi TVET, industri serta masyarakat umum – menyasarkan impak langsung terhadap pembangunan modal insan dan peluang kerjaya.
Sepanjang tiga hari, lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui padanan kerjaya bersama majikan dari pelbagai sektor strategik. Antara program tumpuan termasuk pameran teknologi, pertandingan kemahiran, bengkel keusahawanan, sesi bimbingan kerjaya dan seminar bersama pakar industri.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 kali ini akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi, dengan pelbagai pengisian yang bersifat inklusif, interaktif dan strategik. Tujuan utama program ini adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan dunia TVET dan memperlihatkan bagaimana TVET mampu menjadi pemangkin pembangunan negara, khususnya dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Program Hari TVET Negara 2025 terbahagi kepada empat segmen utama yang merangkumi pelbagai pengisian menarik dan menyeluruh. Segmen satu menampilkan empat hub aktiviti iaitu Hub TVET Exhibition, TVET Entrepreneur, Industry Collaboration dan TVET Infotainment. Kesemua aktiviti akan digabungkan mengikut kluster atau bidang utama TVET, di mana setiap kluster akan melibatkan penyertaan institusi TVET, industri serta teknousahawan. Sementara Hub Infotainment pula memberi fleksibiliti kepada penganjur reruai untuk melaksanakan aktiviti infotainment secara tersendiri, disokong oleh kemudahan pentas utama dan pentas mini bagi aktiviti hands-on yang lebih tersusun dan mengikut jadual slot. Segmen dua pula merangkumi Hub TVET Convention, diikuti oleh segmen tiga iaitu TVET Job Fair, dan segmen empat yang mengetengahkan TVET Challenge.
Sambutan ini berlangsung dalam suasana positif dengan peningkatan minat rakyat terhadap laluan kemahiran. Sehingga kini, sebanyak 140,000 permohonan telah diterima melalui platform UP_TVET.
Majlis perasmian pada 12 Jun dijangka membawa beberapa pengumuman strategik berkaitan agenda pemerkasaan TVET negara. Antara tumpuan yang bakal diberikan termasuklah usaha menggalakkan penyertaan lebih meluas lepasan TVET dalam sektor keusahawanan berimpak tinggi, selari dengan keperluan ekonomi semasa. Langkah ini diharap dapat memperkukuh peranan TVET sebagai pemacu pertumbuhan dalam bidangbidang berpotensi tinggi.
Orang ramai termasuk pelajar, ibu bapa, pencari kerja dan usahawan dijemput hadir untuk merebut peluang, menyertai aktiviti dan mendapatkan informasi secara terus sepanjang acara berlangsung. Media tempatan dan digital turut dijemput membuat liputan menyeluruh bagi memperluas capaian Hari TVET kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 memperkukuh komitmen berterusan kerajaan untuk membina laluan kemahiran sebagai arus perdana pembangunan negara, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang progresif, inklusif dan mampan.

Kandungan ini disediakan oleh Majlis TVET Negara.

