Wawancara | Susulan isu pengumpulan data telefon bimbit (MPD) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan di kalangan pengguna.
Pensyarah Kanan Sains Komputer di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Yusof Darus turut memberi cadangan agar pemerkasaan PPDP harus diberi keutamaan buat masa ini dalam menyumbang kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan.
Ini dapat meredakan keresahan pengguna kerana terdapatnya badan berkanun yang bertindak lebih pantas dan tegas atas sebarang salah laku berkaitan transaksi dan penggunaan data secara komersial sekiranya kuasa mereka yang sedia ada diperluaskan.

“Contohnya, selepas ini PPDP berupaya mengenakan denda yang lebih tinggi terhadap pelaku maka ia secara tidak langsung akan meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pengguna data,” katanya.
Pada masa sama, Dr Yusof berkata, pemerkasaan PPDP juga adalah langkah ke arah tindak balas cabaran teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat khususnya dalam kegiatan pengumpulan dan pemprosesan data.
“Kita lihat cara data peribadi dikumpul serta diproses misalnya menggunakan AI ini sewajarnya mendesak PPDP untuk lebih proaktif dalam membangunkan garis panduan dan mengawal selia teknologi baharu untuk melindungi privasi pengguna.
“PPDP perlu lebih fokus terhadap perlindungan data yang lebih baik supaya kita sebagai pengguna berasa lebih yakin bahawa hak privasi kita terjamin,” katanya.

Dr Yusof berkata, perlindungan data khususnya berunsur maklumat sensitif seperti nama penuh, nombor telefon, alamat rumah dan kad pengenalan individu harus dititikberatkan kerana ia bersangkut paut dengan keselamatan pengguna itu sendiri.
Walau bagaimanapun, data telefon bimbit (MPD) yang diminta oleh MCMC daripada MNO baru-baru ini hanya melibatkan data yang dinyahidentitikan iaitu data yang diproses supaya ia tidak dapat dihubungkan kepada mana-mana individu.
“Secara teknikal, ia dipanggil data yang dinyahidentiti kan supaya dapatan data itu berada dalam bentuk mentah yang tiada maklumat peribadi.
“Misalnya, data yang didapati itu hanya boleh memaklumkan penerima yang sesuatu kawasan itu diduduki oleh seramai 500 ke 700 orang penduduk dengan 30 peratus daripadanya adalah perempuan.
“Penerima tidak akan tahu butiran peribadi setiap individu di kawasan itu dan ini lazim dipraktikkan dalam kalangan penyelidik akademik macam kami juga,” jelas Dr Yusof.

Menurutnya, data sebegini adalah penting dalam kajian demografi untuk membuat dasar bagi sesuatu tempat seperti perancangan bandar dan wilayah supaya pembuat dasar peka akan kepadatan penduduk, jaringan mobiliti dan binaan infrastruktur yang ada di situ.
Dalam konteks isu MPD, MCMC mengumpulkan data-data tersebut bagi menghasilkan taburan pelanggan jalur lebar mudah alih, kadar penembusan di pelbagai peringkat pentadbiran dan menjana indikator pelancongan.
Sehubungan itu, data tersebut menjadi teras yang menyokong pembuatan dasar berasaskan bukti dalam sektor ICT dan pelancongan serta sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa terutamanya di negara-negara membangun seperti Indonesia dan Brazil. 
Untuk rekod juga, antara undang-undang yang diguna pakai oleh Malaysia dalam mengawal selia transaksi komersial data adalah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 .
Dr Yusof berkata, PDPA 2010 adalah undang-undang utama yang digunakan dalam memelihara kerahsiaan data negara manakala CMA 1998 digunakan untuk menyelia industri komunikasi dan multimedia.

“Sebenarnya, CMA 1998 ini juga boleh diguna pakai untuk menjaga kerahsiaan komunikasi dan melindungi maklumat yang diperolehi oleh penyedia perkhidmatan.
“Namun, penguatkuasaan tidak memberangsangkan jadi tindakan yang diambil itu tidak berapa serius walaupun kita ada undang-undang,” katanya.
Menurutnya, pemerkasaan PPDP dapat mengatasi kekangan tersebut selain melancarkan gerak kerja antara PPDP dan MCMC dalam menerajui dan mengawal selia sektor data dan telekomunikasi di Malaysia.
Dr Yusof berpendapat bahawa PPDP sebaiknya dikuatkuasakan untuk mengendalikan isu-isu berkaitan perlindungan data pengguna manakala MCMC lebih tertumpu kepada kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.
Bagi membina satu ekosistem data yang lebih selamat dan bertanggungjawab di Malaysia, beliau menyarankan pemerkasaan PPDP sebagai satu langkah yang baik dan proaktif ke arah tujuan itu.

Sementara itu, saranan Dr Yusuf juga disokong oleh Pensyarah Kanan Perundangan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Nizam Awang, PPDP harus diberikan mandat yang lebih kuat sebagai sebuah badan berkanun yang bebas.
“Langkah ini dapat menjamin kebebasan institusi, dan saya difahamkan ia termasuk dalam perhatian kerajaan sebenarnya,” katanya.

