CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile and YTL Communications Sdn. Bhd. memberi jaminan kepada pengguna perkhidmatannya bahawa data mereka dilindungi dan dipelihara selari dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 dan Akta Komunikasi Multimedia (CMA) 1998.
Ini susulan isu pengumpulan data telefon bimbit (MPD) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk memulakan projek rangkaian jalur lebar berskala nasional.
Lima MNO gergasi negara dalam kenyataan berkata, mereka memastikan bahawa data yang diberikan kepada badan kerajaan itu dianonimkan dan diproses dalam persekitaran selamat bagi menjaga keselamatan dan privasi data tersebut.
“Tiada akses kepada pemprosesan atau perkongsian maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi pada mana-mana peringkat diberikan.

“Semua data adalah tidak dinamakan dan diproses secara terkumpul dalam persekitaran yang selamat, dengan mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 sepenuhnya,” kata Maxis dalam satu kenyataan.
Prinsip ini dikongsi oleh kesemua lima MNO yang menekankan bahawa tiada Maklumat Pengenalan Peribadi (PII) akan dikongsi atau diproses dengan MCMC.
Pada masa sama, TM melalui portalnya berkata penyerahan data ini dijalankan di bawah tadbir urus dan protokol keselamatan yang ketat dengan mematuhi keperluan kawal selia, dasar syarikat yang terpakai dan undang-undang negara.
CelcomDigi pula berkata, pihaknya menjalankan semakan komprehensif tentang pematuhan privasi dan perlindungan data secara berterusan di seluruh syarikatnya untuk memacu peningkatan berterusan yang sejajar dengan amalan terbaik.

“Semua perkara mengenai penggunaan data pelanggan mendapat pengawasan pengurusan yang mencukupi di bawah kebertanggungjawaban Pegawai Perlindungan Data kami selain dilaporkan secara berkala kepada Lembaga Pengarah,” kata CelcomDigi dalam satu kenyataan.
Data yang diberikan kepada MCMC akan menghasilkan statistik terperinci mengenai langganan jalur lebar mudah alih dan kadar penembusan di pelbagai peringkat pentadbiran serta menjana petunjuk pelancongan seperti bilangan pelawat dan perjalanan domestik.
Statistik ini penting bagi badan kerajaan itu untuk memastikan dasar dan projek yang dilaksanakan adalah berlandaskan data masa kini yang akan memberi manfaat kepada semua pengguna di kawasan terjejas.

