malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
OPS GASAK: Peniaga Mikro Dibenar Guna LPG Bersubsidi Sementara Peraturan Dipinda
Diterbitkan:  Jun 7, 2025 6:47 PM
Dikemaskini: 12:33 PM
ADS

Tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga kecil yang menggunakan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi tanpa permit khas sehingga pindaan baharu Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 dimuktamadkan Oktober ini.

Walaupun peniaga yang menggunakan LPG dalam kuantiti yang dibenarkan tidak akan dikenakan tindakan selagi mematuhi garis panduan, namun pelaksanaan ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjaja dan masyarakat awam.

Peniaga sambal lado, Afiq Noordin berkata melalui hantaran Facebooknya bertarikh 29 Mei, OPS GASAK bukan untuk membebankan rakyat, tapi untuk hentikan salah guna subsidi. Ia fokus pada pihak yang guna lebih 42kg tong gas tanpa permit, seperti restoran besar, dobi industri dan rangkaian makanan. Gerai kecil dan penjaja tepi jalan tidak terlibat.

Beliau turut menekankan pentingnya pengagihan subsidi yang adil kepada rakyat, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakannya demi kepentingan sendiri.

“Keadilan bukan beri subsidi sama rata, tapi salur bantuan kepada yang benar-benar perlu. Jika restoran besar dapat sama macam warung kecil, itu bukan adil – itu ketirisan.” ujarnya.

“Permit Barang Kawalan Berjadual atau PBKB telah diperkenalkan sejak pindaan Peraturan Kawalan Bekalan pada tahun 2021. Ia bukan sesuatu yang rumit. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem BLESS. Kalau kita boleh urus lesen perniagaan, maka memohon permit untuk LPG seharusnya tidak menjadi beban besar,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberi jaminan bahawa tiada tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap peniaga mikro dan kecil sepanjang tempoh pindaan dilaksanakan.

“Mereka dibenarkan mendapatkan bekalan tong gas LPG bersubsidi tanpa memerlukan permit barang kawalan berjadual,” katanya. 

Beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang baru-baru ini bersetuju dengan syor KPDN untuk meminda peraturan tersebut, yang mula dikuatkuasakan pada 15 Okt 2021 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Katanya pindaan itu antara lain mengambil kira keperluan peniaga makanan dan minuman berskala kecil dan mikro secara bersasar, selain memastikan kejelasan undang-undang dalam aspek pematuhan serta penguatkuasaan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata pindaan berkenaan dijangka dimuktamadkan sebaik sahaja Ops Gasak yang sedang dilaksanakan tamat pada 31 Oktober ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan itu tetap diteruskan bagi membanteras ketirisan LPG seperti kegiatan ‘decanting’ haram dan penyalahgunaan oleh pihak industri.

"Laporan Ops Gasak ini akan dijadikan asas penting dalam penyediaan undang-undang lebih jelas, bersesuaian dan inklusif, khususnya melibatkan peniaga kecil yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Penyelarasan semakan dan pindaan PPKB ini akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, melibatkan pelbagai kementerian, agensi berkaitan serta pandangan daripada pemegang taruh.

Langkah ini mencerminkan usaha kerajaan mencari keseimbangan antara kelangsungan hidup peniaga kecil dan tanggungjawab fiskal negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!