Wawancara | Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bukan sekadar kempen kesedaran tetapi usaha pencegahan awal terhadap jenayah siber termasuk Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).
Pakar Psikologi Klinikal di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nurul Syasya Mohd Ridzwan Goh berkata, KIS bertujuan mendidik masyarakat ke arah literasi digital yang lebih baik kerana masih ramai penjaga kurang berpengetahuan berkaitan bentuk dan impak CSAM di Internet.
“Mereka juga perlu faham yang berkongsi gambar itu adalah berkongsi data peribadi seseorang itu. Ini juga termasuk apa yang boleh atau tidak boleh digunakan dalam dunia digital itu misalnya pornografi.
“Inisiatif itu dapat mengisi jurang pengetahuan berkenaan literasi digital sebab kita tahu ramai dalam kalangan masyarakat masih tidak tahu bahawa walaupun anak sendiri yang berkongsi gambar tidak sepatutnya, itu juga dikira sebagai CSAM.
“KIS yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat ini sangat penting untuk membina sistem imun digital,” katanya.

KIS yang berlangsung sepanjang tahun ini mensasarkan penyertaan kanak-kanak berumur 7-12 tahun, pelajar sekolah menengah dan IPT berumur 13-30 tahun, guru, ibu bapa, Komuniti Madani, CSO, warga emas dan golongan rentan digital.
Penglibatan meluas antara anggota masyarakat adalah penting bagi membentuk ekosistem digital yang selamat buat kanak-kanak iaitu golongan mudah terdedah dan terkesan dengan bahaya Internet.
Dr. Syasya berkata, ekosistem kanak-kanak itu menjadi lebih selamat jika adanya sistem sokongan misalnya masyarakat setempat yang boleh berfungsi sebagai tempat alternatif untuk kanak-kanak berlindung dan berkongsi masalah mereka.
“Terdapat satu fenomena yang dipanggil bystander intervention di mana apabila seseorang itu menyaksikan situasi kecemasan atau salah laku, beliau mengambil tindakan untuk membendung gejala tersebut.
“Dalam konteks CSAM ini, jika seseorang itu nampak bahan lucah kanak-kanak tersebar di media sosial dan melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa, dia berpotensi mempengaruhi orang lain untuk mengikuti tindakannya.

“Gelombang ini turut dikenali sebagai domino effect yang boleh berjangkit kepada orang lain, terutamanya dalam masyarakat,” kata Dr. Syasya.
Menurut beliau, masyarakat tidak boleh saling menganggap yang isu ini adalah urusan peribadi malah perlu bertindak proaktif dalam melindungi keselamatan kanak-kanak sekiranya terjumpa bahan berunsur CSAM di media sosial.
Satu norma sosial yang menyokong tindakan positif itu, Dr. Syasya berkata, harus dibina supaya anggota komuniti lebih yakin dan mudah untuk mengambil tindakan sehingga ia dianggap norma baharu.
Beliau mengingatkan bahawa CSAM meliputi pelbagai bentuk bahan seperti lukisan, animasi, imej, gambar serta video yang dimanipulasi secara digital bagi menyerupai wajah kanak-kanak dan memaparkan tindakan seksual terhadap mereka untuk dieksploitasi.
Tambahnya lagi, perkembangan teknologi yang pesat pada masa kini juga menimbulkan fenomena baru iaitu self-generated CSAM (SGCSAM) di mana kanak-kanak itu menghasilkan bahan-bahan CSAM secara sukarela samada untuk diri sendiri atau orang lain.

“Ia bergantung kepada kerelaan mereka atau pengaruh luar yang kita seringkali dengar sebagai grooming. Sekarang banyak kes grooming melalui ugutan atau pujukan.
“Faktor lain termasuk akses mudah kepada telefon bimbit yang membenarkan kanak-kanak untuk melayari platform digital seperti media sosial pada kadar yang tidak terkawal, menyebabkan kemudahan ini disalahgunakan.
“Pencetus kepada SGCSAM juga boleh dikaitkan dengan pandemik COVID-19 di mana waktu itu, ramai yang berasa kesunyian dan kesepian,” katanya.
Dari sudut psikologi perkembangan, Dr. Syasya berkata, kanak-kanak belum matang untuk mengawal emosi, membuat keputusan dan mudah percaya akan cakap orang dewasa khususnya ketika mereka dimanipulasi.
Kegiatan yang lazim dikenali sebagai grooming itu mengaburi pemikiran kanak-kanak untuk mengejar ‘nikmat’ sementara tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang seperti perasaan malu, trauma dan bersalah.

Dr. Syasya berkata, pendedahan kepada CSAM yang berterusan juga akan memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan perkembangan kanak-kanak tersebut misalnya perkembangan otak dan emosi.
Lebih mudarat lagi apabila ia boleh mempengaruhi kesihatan mental sehingga kemurungan dan kebimbangan lalu menunjukkan masalah tingkah laku termasuk mencederakan diri sendiri serta enggan pergi ke sekolah.
“Ia juga berkemungkinan mengakibatkan Gangguan Stres Pasca Trauma (PTSD) terhadap kanak-kanak berkenaan di mana dia akan asyik teringat kejadian yang menimpanya jadi dia akan merasa murung dan sangat takut dalam sesuatu situasi,” jelas Dr. Syasya.
Ibu bapa, guru dan masyarakat dengan kerjasama kerajaan memainkan peranan penting dalam membendung isu yang kian berleluasa itu supaya keselamatan dan kesihatan kanak-kanak selamat dan terjaga.

Dr. Syasya berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk memberi panduan dan alatan kepada masyarakat khususnya ibu bapa bagi memudahkan mereka mendidik anak-anak, manakala masyarakat harus bersatu padu membentuk ekosistem yang selamat berdasarkan pengetahuan itu.
“Kerajaan telah melaksanakan tanggungjawabnya menerusi kempen ini.
“Namun, ibu bapa dan masyarakat juga perlu turut serta kerana keselamatan kanak-kanak ini adalah tanggungjawab kolektif.
“Apabila masyarakat berpengetahuan, mereka boleh menghadapi cabaran tersebut dengan lebih baik,” katanya.

