Sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, satu program agihan makanan telah dianjurkan oleh Persatuan Perpaduan dan Kebajikan Selangor (SUWA) di perkarangan Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya.
Program ini dijalankan sejurus selesai Solat Jumaat, di mana makan tengah hari telah diagihkan kepada para jemaah dan komuniti setempat. Ia bukan sahaja bertujuan sebagai sumbangan amal, tetapi juga sebagai simbol perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Apa yang lebih menarik, walaupun SUWA diterajui oleh komuniti India – termasuk presidennya yang merupakan seorang berbangsa India – perkara ini sama sekali tidak menjadi halangan untuk mengadakan program di masjid dan melibatkan komuniti Muslim secara langsung. Malah, ia telah disambut baik oleh pihak pengurusan masjid dan masyarakat sekitar, membuktikan bahawa semangat perpaduan antara kaum dan agama masih subur di tanah air tercinta ini.
Menurut Presiden SUWA, Dr. Ganesan Saruvanan, sumbangan makanan ini adalah sebahagian daripada niat ikhlas untuk menyemarakkan semangat Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di samping menyantuni komuniti setempat.
“Malaysia adalah tanah yang kita kongsi bersama. Walaupun kita berbeza agama dan bangsa, kasih sayang dan rasa hormat itu tidak pernah berubah. Program hari ini adalah lambang kecil bagaimana perpaduan sebenar boleh berlaku apabila kita saling memahami dan menghormati,” katanya.
Agihan makanan dilakukan dengan teratur oleh sukarelawan SUWA, dan rata-rata penerima menyambut baik inisiatif ini. Program ini turut menjadi ruang untuk memperkukuh semangat kemasyarakatan dan menzahirkan rasa syukur terhadap keamanan serta kepimpinan negara di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
SUWA menyatakan komitmen untuk terus menjalankan program sebegini pada masa akan datang, tanpa mengira sempadan kaum atau agama, selaras dengan matlamat persatuan untuk menyatupadukan masyarakat melalui kerja kebajikan dan sosial.
Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku.
Kandungan ini disediakan oleh Persatuan Perpaduan dan Kebajikan Selangor (SUWA)
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]

