WAWANCARA | Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi platform buat Malaysia mempamerkan kebolehan teknikal tempatan dalam membangunkan dan menguruskan rangkaian 5G.
Menurut Prof Madya Dr Kamarularifin Abd Jalil dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM, kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi dalam menjayakan rangkaian 5G semasa Sidang Kemuncak ASEAN membuktikan pendekatan yang tersusun, inklusif dan berpaksikan kerjasama boleh menjadi model terbaik untuk pengembangan kemudahan itu di seluruh negara.
Beliau berkata, peningkatan kerjasama itu dapat dilihat melalui peralihan rangkaian 5G daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model dwirangkaian.
“Ia membuka ruang kerjasama yang lebih besar di antara MCMC dengan lebih banyak syarikat telekomunikasi walaupun pada dasarnya pelaksana rangkaian 5G kedua bagi Malaysia telah diberikan kepada syarikat U Mobile.
“Peralihan meningkatkan persaingan, mengurangkan monopoli dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital negara justeru ia penting bagi menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital bahkan sejajar dengan objektif menjadikan negara ini berpendapatan tinggi yang didayakan secara digital.

“Melalui model rangkaian tunggal 5G, infrastruktur kesalinghubungan bagi Sidang Kemuncak ASEAN mampu mencecah kelajuan sehingga 1Gbps pada satu-satu masa.
“Jika model dwirangkaian siap beroperasi, kelajuan itu mampu ditingkatkan atas faktor persaingan dan inovasi,” katanya.
Bagi Pensyarah Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia, Dr Azizul Azizan, langkah diambil MCMC dalam memastikan kelancaran jaringan Internet semasa acara bertaraf antarabangsa itu berlangsung dilihat usaha yang signifikan malah berada pada tahap setanding dengan penganjuran di luar negara.
Kata beliau, kemajuan rangkaian 5G yang tersedia di lokasi sidang kemuncak ASEAN itu adalah bukti kemajuan infrastruktur digital negara, terutamanya rangkaian 5G yang kini meluas dan diyakini.
Menurutnya, MCMC bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara seperti Digital Nasional Bhd, CelcomDigi Bhd (CelcomDigi), Maxis dan U Mobile untuk memastikan liputan 5G yang stabil serta tanpa gangguan di kawasan strategik yang menghimpunkan tetamu dari negara ASEAN dan pengamal media berkumpul terutamanya di KLCC.
“Penyedia rangkaian optik fiber seperti TM, Time, dan Maxis juga terbabit kerana rangkaian mereka digunakan bagi membawa trafik 5G ke Internet.
“Kawasan itu dilengkapi dengan kemudahan seperti unit 5G in a box yang bersaiz besar dan 26 unit bersaiz kecil, infratruktur ini penting kerana liputan di dalam bangunan pada kebiasaannya akan mengalami masalah titik buta liputan mobil atau mobile signal blindspot.
“Ini amat penting kerana seramai 1,200 petugas media termasuk 500 wakil agensi berita antarabangsa yang mendaftar harus menggunakan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi bagi menghantar kandungan media mereka,” katanya.

Menurut beliau, MCMC juga menempatkan pasukan pemantauan khas di lokasi acara untuk memastikan capaian Internet berada dalam keadaan optimum sepanjang tempoh penganjuran berlangsung.
Katanya pusat pemantauan komunikasi turut diwujudkan di lokasi acara bagi mengesan dan menyelesaikan serta-merta sebarang isu yang mungkin timbul.
Sementara itu, Azizul berkata, capaian liputan 5G di Malaysia terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila ia meningkat kepada 82.4 peratus di kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan itu bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh infrastruktur digital negara, malah meletakkan Malaysia sebagai antara negara terpantas di dunia dalam memperluas akses kepada teknologi komunikasi moden.
Seiring dengan itu, kata Azizul, kadar penggunaan 5G dalam kalangan rakyat juga melonjak secara ketara, daripada 6.7 peratus pada suku tahun pertama (Q1) 2023 kepada 41.9 peratus pada Q4 2024.
“Menurut laporan Ookla, prestasi rangkaian telekomunikasi mobil Malaysia turut meningkat dengan drastik apabila kelajuan muat turun purata mencecah 105.36 Mbps pada Q4 2024, berbanding 45.57 Mbps pada Q1 2023 kerana teknologi rangkaian 5G mampu memberikan kelajuan muat turun yang lebih baik.
“Kemajuan ketersediaan 5G di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sepanjang 2024 apabila liputan yang dahulunya tertumpu di kawasan bandar kini telah diperluas ke kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan.
“Negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang menunjukkan prestasi kelajuan 5G melebihi 366 Mbps, mengatasi kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Selangor yang mencatat kelajuan di bawah 280 Mbps.
“Perbezaan ini disebabkan oleh kesesakan rangkaian yang lebih rendah di kawasan luar bandar, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi perluasan infrastruktur digital negara melalui inisiatif seperti JENDELA dan pelaksanaan rangkaian yang pantas oleh Digital Nasional Bhd (DNB),” katanya.

