malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Malaysia akan terus berada dalam radar pelabur global
ADS

Wawancara |  Disiplin fiskal yang ketat serta pengurusan hutang secara berhemah terus menjadi landasan utama kerajaan mengurangkan defisit fiskal negara secara berkesan.

Ketua Ahli Ekonomi di firma IQI Global, Shan Saeed, menyatakan langkah-langkah yang dilaksanakan Putrajaya menghantar isyarat positif kepada pemain pasaran bahawa kerajaan komited sepenuhnya mahu melaksanakan reformasi ekonomi dan fiskal demi memperkukuh prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

“Selari dengan pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan, kerajaan berjaya meningkatkan hasil pendapatan negara sambil melaksanakan langkah penjimatan perbelanjaan secara berkesan,” katanya.

Selepas mencatatkan peningkatan 4.4% pada suku pertama tahun ini, Shan optimis terhadap pertumbuhan ekonomi negara untuk baki suku akan datang kerana dilihat memberangsangkan.

Beliau berkata, kestabilan makroekonomi menjadi pemacu utama pertumbuhan berterusan.

“Pertumbuhan dijangka kekal stabil, disokong oleh permintaan agregat yang kukuh, projek infrastruktur yang sedang berjalan, serta prestasi eksport yang mantap, khususnya dalam teknologi maklumat, ICT (cip), dan pembuatan.

“Justeru, saya optimis terhadap prospek ekonomi negara berdasarkan andaian bahawa kestabilan makroekonomi kekal utuh. 

“Malaysia akan terus berada dalam radar pelabur global,” katanya.

Menurut Shan, pertumbuhan ekonomi suku kedua 2025 dijangka berada antara 4.4% hingga 4.8% dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang konsisten serta pelaksanaan insentif fiskal oleh kerajaan.

Tambah beliau, bagi suku tahun ketiga 2025, ekonomi Malaysia dianggarkan berpotensi mencatat peningkatan dengan unjuran sekitar 4.7%.

“Ini selaras dengan permintaan global yang kekal kukuh terhadap eksport dan pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan dijangka stabil dalam julat 4.7% hingga 4.9%, menjelang suku keempat, mencerminkan sumbangan yang seimbang daripada pelbagai sektor. 

“Ringgit dijangka kekal dalam aliran positif dan berlegar antara 4.10 hingga 4.30 berbanding dolar AS pada tahun 2025,” katanya.

Menurut Shan, secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan ekonomi negara kekal optimistik namun, kerajaan perlu berhati-hati berikutan risiko ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan harga komoditi global.

“Kepelbagaian ekonomi Malaysia dan inisiatif strategik yang diambil kerajaan Madani dijangka membantu mengekalkan pertumbuhan yang stabil bagi tahun 2025,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!