Wawancara | Majlis Amanah Rakyat (MARA) menzahirkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas keprihatinan agensi itu mengambil tindakan pantas menyelesaikan masalah pelajar yang berdepan isu capaian Internet.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kini kesemua Institusi Pendidikan MARA (IPMa) bakal menikmati Internet berkualiti susulan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersetuju menyalurkan dana RM200 juta bagi membangunkan infrastruktur serta prasarana digital.
“Liputan institusi MARA yang merangkumi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menuntut peruntukan besar untuk memperkukuh infrastruktur digital.
“Satu institusi memerlukan peruntukan sekurang-kurang RM250 ribu. Justeru kerjasama MCMC melibatkan dana RM200 juta memadai untuk kita selesaikan masalah kualiti Internet pada tahun ini.
“Kami juga berterima kasih kerana Datuk Fahmi cakna dengan keperluan MARA dan cepat bertindak, struktur telekomunikasi baharu disiapkan di Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek, Melaka tidak sampai tempoh 40 hari susulan segmen terjah saya ke sana.

“Kemudahan infrastruktur itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar tetapi penduduk kampung di sekeliling kampus, ini adalah manfaat dua dalam satu,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, daripada 344 institusi pendidikan MARA di seluruh negara, 270 memfokus kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memerlukan capaian Internet serta digital.
Beliau berkata, dengan mengekalkan ekosistem pendidikan yang mampan khususnya melalui pemerkasaan infrastruktur digital, MARA dapat menjadi tonggak kebolehpasaran graduan selaras dengan kehendak industri.
“MARA memberi penekanan kepada penyediaan TVET beraras tinggi, jadi sudah tentu kita harus menyediakan prasarana yang mencukupi supaya boleh memberi peluang tersebut.
“Kualiti jaringan Internet yang berada pada tahap terbaik boleh memberi kesan terhadap kualiti graduan dalam bidang berteknologi tinggi yang dilahirkan terutama keupayaan mereka bersaing dalam dunia mencabar.

“Jadi, hari ini jangan bicara soal bangsa dan agama secara dangkal. Keupayaan bangsa harus ditingkatkan supaya industri tidak sekadar melihat warna kulit semata-semata, sebaliknya keupayaan,” katanya.
Tambah Asyraf Wajdi, walaupun MARA memfokuskan kepada pembangunan modal insan bumiputera, namun keupayaan graduan institusi itu menarik minat syarikat multinasional misalnya dari Jepun, China dan German.
“MARA bukan sekadar program dandanan, kulinari atau buat kuih, sebaliknya TVET MARA adalah generasi berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
“Orang tidak terlintas kita ada program seperti Cyber Security, kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau membina dan membaiki kapal (kapal terbang, keretapi dan kapal laut).
“ini ada dalam ekosistem MARA, sebab itu graduan kita mendapat permintaan meluas dari industri di dalam dan luar negara sebelum mereka tamat latihan.
“Tahun lalu, hampir semua institusi kita menerima kehadiran permohonan masuk lebih daripada 100 peratus, maksudnya masyarakat sudah mula menyedari keberadaan MARA,” katanya.

