Akhbar Sin Chew Daily telah dipanggil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam bagi tujuan siasatan berkenaan ilustrasi muka depan jong yang memaparkan bendera Malaysia dan China sempena lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini pada 15 April.
Ia susulan isu Jalur Gemilang yang diterbitkan akhbar Cina itu tidak mempunyai motif bulan sabit yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan.
“KDN memandang serius dan amat kesal dengan perbuatan akhbar Sin Chew Daily yang telah menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April.

“KDN sudahpun memulakan tindakan siasatan serta merta dengan berpandu kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
KDN turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima surat tunjuk sebab oleh akhbar Cina terbabit, selain memanggil mereka untuk disiasat.
Kementerian itu berkata, mereka tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat dan mengancam kestabilan, keharmonian serta kesejahteraan negara.
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” kata KDN.
Kementerian itu juga mengingatkan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional Malaysia yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak, bukan dilihat sebagai simbol semata-mata.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa,” katanya.
KDN turut memberi amaran bahawa mereka tidak sesekali berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa bahan yang berisiko menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” kata KDN lagi.

Pada masa sama, Sin Chew Daily menerusi sebuah kenyataan telah memohon maaf dan menzahirkan rasa kesal atas ‘kesilapan teknikal’ tersebut.
Mereka turut membetulkan dan memuat naik ilustrasi yang baharu tempoh hari, dan menerbitkan semula ilustrasi yang sudah dibetulkan dalam edisi cetakannya semalam.
Bagaimanapun, bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menegaskan bahawa permohonan maaf sahaja adalah tidak memadai dan tindakan tegas harus diambil ke atas akhbar Cina terbabit.
“Bendera Malaysia adalah soal kedaulatan!
“Mohon maaf hanya boleh diterima jika dilakukan oleh orang yang jahil, dungu dan tersilap.
“Sebuah akhbar yang tersohor berusia hampir seratus tahun (diasaskan pada tahun 1929), mempunyai pembaca lebih setengah juta (500,000) serta mempunyai ketua editor dan para editor berpengalaman melakukan kesilapan pada bendera negara sendiri?” kata Maszlee dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Justeru, kata pemimpin PKR itu, seseorang perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan atau dihadapkan ke muka pengadilan.
Beliau berkata, khuatir maruah negara dan Jalur Gemilang negara akan terus diperlecehkan jika pihak yang berkenaan tidak dikenakan tindakan keras.
“Harap pihak berwajib ambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dalam isu ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak media Kwong Wah Yit Poh telah dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan laporan berkaitan gambar bendera Malaysia tanpa sifat lengkap yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi organisasi media tersebut semalam.
“Siasatan terhadap kes berkenaan sedang dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233 memandangkan kesalahan adalah melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian,” kata MCMC dalam satu kenyataan.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan bekerjasama dengan KDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya diperlukan dalam menjalankan siasatan lanjut berkenaan isu ini.
MCMC turut memberi amaran tegas kepada semua pihak, sama ada organisasi media atau orang awam untuk tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang bersifat mempersenda atau menampilkan bendera Malaysia tanpa sifat lengkap.

Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini. MCMC komited untuk memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan.
Bendera Malaysia terdiri daripada 14 garisan jalur merah dan putih berselang-seli dan lambang bulan sabit dan bintang 14 mata yang dikenali sebagai bintang Persekutuan.
14 jalur, dengan lebar yang sama, mewakili status yang sama dalam persekutuan 13 negara anggota dan wilayah persekutuan, manakala 14 titik bintang mewakili perpaduan antara entiti ini.
Bulan sabit pula mewakili agama Islam sebagai agama persekutuan.

