malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
KPJ Healthcare Lancar Hospital ke-30 di Kuala Selangor
Diterbitkan:  Apr 14, 2025 7:10 PM
Dikemaskini: 11:10 AM
ADS

Kuala Selangor, 14 April 2025 – KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini secara rasmi melancarkan cawangan hospitalnya yang ke-30, Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor (“KPJKS”), sekaligus mengukuhkan komitmen Kumpulan untuk memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan pakar swasta bagi komuniti yang semakin berkembang di luar pusat bandar utama.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta turut dihadiri oleh Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Bakar, bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan kanan. Pelancaran ini menandakan satu pencapaian strategik dalam rangkaian KPJ di seluruh negara, sekaligus membawa perkhidmatan pakar ke daerah yang sebelum ini kurang mendapat perkhidmatan sektor swasta.

Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Bakar, Pengerusi KPJ Healthcare berkata, “Pelancaran ini bukan sekadar pembukaan sebuah fasiliti baharu, malah ia mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membawa penjagaan kesihatan berkualiti lebih dekat kepada komuniti setempat yang paling memerlukannya. Kami berkembang dengan teras tujuan yang berpandukan janji Care for Life serta nilai-nilai bersama yang mendefinisikan perkhidmatan kami – Komited, Bertanggungjawab, Hormat dan Cemerlang. Matlamat kami bukan sahaja untuk meluaskan capaian, tetapi juga membantu membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih adil, kukuh dan boleh boleh diakses oleh setiap rakyat Malaysia.”

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Bakar, Pengerusi  KPJ Healthcare

KPJKS telah mula beroperasi pada 22 Mac 2025 dan merupakan sebuah hospital pakar swasta pelbagai disiplin yang pertama dan satu-satunya di Kuala Selangor. Dalam tempoh dua minggu pertama pembukaannya, hospital ini telah berjaya melaksanakan pelbagai pembedahan dan prosedur skop serta turut menyambut kelahiran bayi pertama, dan ini mencerminkan kesiapsiagaan klinikal dan permintaan daripada komuniti sekitar.

Dengan kapasiti 60 katil, KPJKS menawarkan perkhidmatan yang merangkumi pelbagai disiplin termasuk perubatan dalaman, pembedahan am, ortopedik, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, telinga, hidung dan tekak (“ENT”), oftalmologi, radiologi, anestesiologi, gastroenterologi dan hepatologi. Hospital ini kini beroperasi dengan 14 orang pakar perunding tetap dan 8 pakar perunding sambilan, dibantu oleh pasukan seramai 188 kakitangan yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu dan staf sokongan.

YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (KANAN), Menteri Kesihatan Malaysia diiringi oleh Chin Keat Chyuan (TENGAH), Presiden dan Pengarah Urusan, KPJ Healthcare Berhad dan Siti Tettie Hidayati Mohyi (Dua Dari Kiri), Ketua Pegawai Eksekutif, KPJ Kuala Selangor ketika menjalani lawatan meninjau fasiliti hospital.

Fasiliti ini dilengkapi sepenuhnya dengan infrastruktur diagnostik dan rawatan terkini, termasuk sistem MRI 1.5 Tesla, pengimbas CT 160-slice, mamografi digital serta Sistem Super Inductive (“SIS”) untuk terapi pengurusan kesakitan bukan invasif yang menggunakan medan elektromagnet intensiti tinggi. Ciri-ciri utama lain termasuklah empat katil ICU, dua dewan bedah, sebuah bilik skop dan katil penjagaan harian khas.

Direka bentuk dengan mengambil kira elemen penjagaan dan fungsi, KPJKS menawarkan persekitaran penyembuhan moden yang diperkayakan dengan rekaan dalaman yang teliti dan persekitaran semula jadi bagi memastikan pesakit dan pasukan perubatan menikmati keselesaan bersama kecemerlangan klinikal.

KPJKS mencerminkan arah tuju baharu Kumpulan di bawah KPJ Health System – satu pendekatan bersepadu yang menyatukan penjagaan klinikal, pendidikan perubatan dan kecemerlangan penyelidikan dalam rangkaian KPJ Healthcare di seluruh negara.


Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!