WAWANCARA| “Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 perlu supaya Malaysia tidak jadi negara sampah apabila media sosial bebas melambakkan apa mereka mahu,” kata Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj.
Menurut beliau, melalui pindaan tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh mengawal semua perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial apabila memperkenalkan satu kerangka kawal selia yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“China meletakkan sempadan tertentu dalam usaha mengawal kandungan maklumat Internet, negara itu tiada platform media sosial Barat kecuali yang dikawal algoritma berfungsi menyaring dan mengawal apa dilihat pengguna.
“TikTok boleh membaca pemikiran rakyat Malaysia melalui algoritma carian mereka, itu sebab kerajaan perlu perketatkan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan dalam talian.
“Terapi kalau tidak boleh mematuhi peraturan Malaysia, mereka (pengendali dalam talian) boleh keluar dari negara ini,” katanya.

Menurut beliau, penyedia kandungan dalam talian perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku peningkatan penyalahgunaan platform untuk menyebarkan berita palsu, fitnah, serta kandungan yang tidak sesuai.
Justeru, bagi Yuneswaran, pindaan dibuat terhadap akta tersebut memastikan ia kekal relevan dengan peredaran zaman, terutama dengan perkembangan pesat teknologi digital, media sosial, serta Internet.
Katanya, akta itu kini mencadangkan hukuman berbeza dan lebih tinggi jika kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun dan menafsirkan kesalahan dilakukan itu sebagai kesalahan yang boleh ditangkap.
Namun, katanya, timbul pandangan segelintir bahawa pindaan tersebut tidak bagus.
“Cuba ambil contoh TikTok tidak peduli jika ada penyebaran fitnah, yang ambil peduli adalah kerajaan.
“Sepatutnya mereka (penyedia perkhidmatan dalam talian) ambil berat kerana itu perniagaan mereka.

“Pornografi kanak-kanak, transaksi dadah dan senjata haram misalnya berlaku dalam Telegram, jadi siapakah perlu bertanggungjawab adakah kerajaan atau platform media sosial itu sendiri?
“Jadi, penggubalan akta ini akan membantu menangani jenayah siber terutama penipuan dan eksploitasi kanak-kanak secara seksual,” katanya.
Pada 27 Julai tahun lalu, MCMC mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi untuk terus beroperasi.
Ia bertujuan mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat terutama kepada kanak-kanak di samping memastikan kandungan lucah, perjudian buli siber dan penipuan dikekang.
Empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama iaitu ByteDance (TikTok), Tencent (WeChat), Telegram dan Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) mengambil langkah signifikan ke arah pematuhan kawal selia dengan memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) untuk beroperasi di Malaysia.
Yuneswaran berkata, tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat di negara ini masih rendah sehingga ramai menjadi mangsa jenayah siber.
Menurut beliau, selain kerajaan, rakyat perlu cakna terhadap ancaman dunia siber dan bertanggungjawab terhadap setiap maklumat peribadi yang dikongsikan.
“Saya nasihatkan agar rakyat tidak mudah terpedaya misalnya dengan menyertai pertandingan cabutan bertuah diadakan di kompleks beli-belah.
“Akan timbul masalah sekiranya anda mengisi dan menyerahkan maklumat peribadi sewenang-wenang kerana ia boleh digunakan untuk tujuan jenayah.
“Isu jenayah siber semakin menjadi-jadi kerana mangsa tiada pengetahuan undang-undang dan Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya.

