Mengukuhkan komitmennya terhadap Penjagaan Kesihatan Hijau dan masa depan yang mampan, KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) dengan berbesar hati mengumumkan penyertaan Kumpulan sebagai ahli United Nations Global Compact (“UNGC”), sebuah inisiatif kemampanan korporat terbesar di dunia. Dengan ini, KPJ Healthcare muncul sebagai penyedia penjagaan kesihatan tersenarai awam pertama di Malaysia yang menyertai rangkaian UNGC.
Gambar di atas: Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (dua dari kiri) menerima Sijil Pengiktirafan Penyertaan UN Global Compact dari Faroze Nadar, Pengarah Eksekutif UN Global Compact Malaysia dan Brunei (dua dari kanan), diiringi oleh Saravanan Desigamanie, Ketua Kemampanan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad (kiri) dan Nabilah Doyle, Ketua Pengacaraan dan Komunikasi UN Global Compact Malaysia (kanan).
Sebagai ahli UNGC, KPJ Healthcare menjadi sebahagian daripada rangkaian global lebih 25,000 syarikat di 160 negara yang komited terhadap amalan perniagaan beretika dan bertanggungjawab. Inisiatif ini mengukuhkan dedikasi Kumpulan kepada Sepuluh Prinsip UNGC yang memberi tumpuan kepada hak asasi manusia, piawaian buruh, alam sekitar dan antirasuah. Menerusi komitmen ini, KPJ Healthcare akan terus menerapkan kemampanan dalam strategi perniagaan terasnya, memastikan impak yang bermakna di seluruh operasi dan tadbir urusnya.

Dilancarkan pada tahun 2000, UNGC ialah sebuah platform pelbagai pihak yang menyokong pembangunan, pelaksanaan dan pelaporan amalan perniagaan yang mampan. Ia menyelaraskan perniagaan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (“UNSDGs”), justeru menyediakan pelan hala tuju bersama ke arah masa depan yang lebih mampan. Penyertaan dalam UNGC menandakan komitmen yang kuat terhadap ketelusan, akauntabiliti serta kemampanan dan organisasi dikehendaki melaporkan kemajuan mereka setiap tahun.
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Pencapaian hari ini amat membanggakan untuk KPJ Healthcare kerana kami secara rasmi menjadi ahli UNGC. Sebagai penyedia penjagaan kesihatan tersenarai pertama di Malaysia yang mengambil langkah ini, kami memperkukuh peranan kami sebagai warga korporat yang bertanggungjawab lantas menyepadukan kemampanan ke dalam teras perniagaan kami. Dengan menyertai UNGC, kami mengambil langkah seterusnya untuk memperkukuh usaha kami, bekerjasama dengan rakan kongsi yang sehaluan dan selaras dengan amalan terbaik global.”
“Di KPJ Healthcare, peranan kami bukan sekadar merawat penyakit – tetapi turut merangkumi usaha mewujudkan persekitaran yang membolehkan orang ramai menjalani kehidupan lebih sihat. Kelestarian adalah teras kepada perkara ini dan kami telah pun melaksanakan inisiatif untuk mengurangkan jejak karbon, meningkatkan kecekapan tenaga dan mengukuhkan komitmen kami terhadap ketelusan dan tadbir urus. Dengan menanamkan prinsip ini dalam operasi kami, kami sedang membina sistem penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab, beretika dan mampan untuk masa depan,” tambah Chin.

Menerusi inisiatif ini, KPJ Healthcare akan bekerjasama secara aktif dengan ahli-ahli UNGC, rakan kongsi penjagaan kesihatan, pembuat dasar dan pertubuhan bukan kerajaan (“NGO”) untuk memajukan agenda kemampanannya dalam sektor penjagaan kesihatan. Kumpulan juga akan memanfaatkan sumber dan program pendidikan UNGC untuk memacu inisiatif hospital hijau yang berimpak, memupuk amalan rantaian bekalan yang mampan dan memberi inspirasi kepada tanggungjawab alam sekitar dan sosial yang lebih luas di seluruh rangkaian hospitalnya. Usaha ini mengukuhkan lagi matlamat dan aspirasi kemampanan Kumpulan untuk menyumbang secara positif kepada kesihatan manusia dan planet ini sambil menyokong UNSDG.
Pihak berkepentingan, rakan kongsi dan orang ramai boleh melayari https://kpj.listedcompany.com/sustainability.html untuk mengetahui inisiatif kelestarian berterusan di KPJ Healthcare melalui Laporan Kemampanan tahunannya.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.

