PENAMPANG, 23 Februari 2025 – Sejumlah RM12 juta telah diperuntukkan di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) tahun ini bagi meneruskan komitmen SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dalam menggalakkan agenda keusahawanan dalam kalangan belia Bumiputera. Majlis Peluncuran Program TUBE 11 telah dirasmikan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, Sabah hari ini.
Program berbentuk latihan asas keusahawanan yang menyasarkan untuk melatih 500 bakal usahawan tahun ini akan bermula di Sabah dan seterusnya dilaksanakan di empat (4) zon lain iaitu Zon Utara, Pantai Timur, Tengah/Selatan dan Sarawak. Program TUBE menyediakan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000 kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan. Tahun ini, Program TUBE 11 telah ditambah baik dengan modul latihan yang lebih dinamik dan selari dengan perkembangan terkini ekosistem keusahawanan menerusi topik seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Peserta TUBE yang telah menamatkan latihan dan memulakan perniagaan akan sentiasa dipantau perkembangan mereka dalam usaha memastikan perniagaan khususnya yang melebihi dua tahun mempunyai potensi untuk berkembang daripada perniagaan bersaiz mikro kepada bersaiz kecil. Kaunselor perniagaan yang terdiri daripada pegawai SME Corp. Malaysia sentiasa bersedia memberikan sokongan kepada para peserta TUBE 11 dan alumni TUBE.

Menurut YB Datuk Ewon Benedick, “Program TUBE bertujuan melahirkan belia Bumiputera yang bukan sekadar pencari kerja, tetapi pencipta pekerjaan melalui aktiviti keusahawanan. Justeru, program ini bukan sahaja penting untuk mengurangkan kadar pengangguran belia tetapi juga untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu mencipta peluang pekerjaan untuk golongan muda di luar sana. Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, ia telah melatih seramai 8,543 belia dengan mewujudkan 15,872 peluang pekerjaan dan mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM194 juta”.
“KUSKOP akan mencadangkan agar program TUBE ini diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dengan penambahbaikan yang lebih berfokus untuk meningkatkan keberkesanan program dan meluaskan capaiannya kepada lebih ramai belia Bumiputera di seluruh negara”, tambah beliau.
YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dalam ucapan aluannya pula berkata, “Saya melihat Program TUBE ini lebih daripada sekadar menyediakan latihan keusahawanan kerana melaluinya, semua usahawan belia akan mempunyai sebuah komuniti iaitu rangkaian alumni TUBE, untuk mereka saling menyokong antara satu sama lain, bertukar idea, berkongsi pengalaman dan membina jaringan perniagaan yang lebih luas”.
YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dalam majlis yang sama berkata, “Berdasarkan pencapaian sebelum ini, kami yakin bahawa TUBE 11 akan terus menjadi platform utama dalam membangunkan usahawan belia Bumiputera. Kami di SME Corp. Malaysia komited untuk memastikan peserta mendapat bimbingan berterusan, akses pembiayaan dan peluang padanan perniagaan agar mereka mampu bersaing di peringkat domestik dan global”.
Bagi memastikan belia Bumiputera mendapat sokongan berterusan, SME Corp. Malaysia turut menyediakan pelbagai inisiatif pembiayaan termasuk Tunas-i, iaitu pembiayaan patuh syariah bagi usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan, Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI)@BEEP yang membantu perniagaan Bumiputera dalam pengembangan modal dan kapasiti serta Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) khusus untuk usahawan menembusi pasaran global melalui sokongan geran dan latihan eksport.
Turut hadir semasa Majlis Peluncuran Program TUBE 11 adalah YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Datuk Haji Zamri bin Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan), YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia dan YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.
This content is provided by SME Corp. Malaysia
The views expressed here are those of the author/contributor and do not necessarily represent the views of Malaysiakini.
Interested in having your press releases, exclusive interviews, or branded content articles on Malaysiakini? For more information, contact [email protected] or [email protected]

