malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
UPM hasilkan graduan agrobio bantu tingkat keterjaminan makanan negara
Diterbitkan:  Nov 26, 2024 6:41 PM
Dikemaskini: Nov 27, 2024 2:41 AM
ADS

SERDANG: Peningkatan hampir dua kali ganda graduan pelbagai program agrobio yang bergraduat pada tahun ini membuktikan lebih ramai generasi muda minat menceburi bidang pertanian selari dengan usaha Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui pelan tindakan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM.

Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, peningkatan daripada 328 graduan pada tahun lalu kepada 928 graduan pada tahun ini telah memberikan petunjuk positif kepada industri pengeluaran sumber makanan dalam memenuhi keperluan rakyat.

Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah

“Jumlah itu merupakan satu permulaan baik dalam usaha negara meningkatkan minat generasi muda untuk menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Ini jelas membuktikan generasi muda kini semakin aktif terlibat dalam bidang pertanian sekali gus membantu kerajaan dalam memenuhi aspek keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Konvokesyen Ke-48 Sidang 2 UPM di sini hari ini. Majlis konvokesyen UPM pada tahun ini akan diadakan selama 7 hari bermula 30 November sehingga 6 Disember ini.

Sebelum ini, Majlis Konvokesyen ke-48 Sidang 1 UPM Kampus Bintulu (UPMKB) telah diadakan pada 2 hingga 3 November lalu dan seramai 473 graduan pelbagai program pengajian telah bergraduat.

Secara keseluruhannya, tambah beliau, seramai 6,056 graduan pelbagai program pengajian yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing terdiri daripada seramai 608 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), seramai 1,509 Ijazah Sarjana (Master), seramai 3,934 graduan Bacelor dan (5) graduan Diploma.

Beliau berkata, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan mengurniakan Anugerah Ijazah Kehormat kepada Profesor Emeritus Academician Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaludin Syed Salim serta Pengurniaan Gelaran Profesor Emeritus kepada Academician Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris pada Sesi Pertama (30 November).

“Sultan Sharafuddin akan turut mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma kepada graduan pada hari pertama (30 November, sesi pertama) pada majlis itu.

“Baginda turut menyampaikan Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba kepada Sumaya Rahmatullah, Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Pingat Emas Alumni kepada Loi Yong Xin, Bacelor Sains Bioperubatan dengan Kepujian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Sharifah Hani Zafirah Alsagoff Syed Omar, Bacelor Sains Bioperubatan dengan Kepujian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Pingat Emas Putra Agribio kepada Avril Lim Shu Ting, Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar; dan Pingat Emas Razlan Putra kepada Muhamad Hafiezie Sudin, Program Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan.

“Selain itu, Pingat Emas Keusahawanan Shell Tiram Wawasan dikurniakan kepada Muhammad Ikram Marozan, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian, Fakulti Pertanian; Pingat Emas Kerjaya Shell MyDinar kepada Amir Na’im Mat Ayob, Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan; Hadiah Sekuriti Makanan Farm Fresh kepada Muhammad Alfaris Yulfendi, Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Fakulti Pertanian; Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals kepada Dr. Loh Zhi Wei (PhD. Sains Bahan); Pingat Emas Doktor Falsafah BasNET kepada Dr. Deng Nuannuan (PhD Pendidikan Jasmani), Fakulti Pengajian Pendidikan; dan Pingat Emas Master Secara Penyelidikan MSD Digital Intelligence kepada Nurulain Hasya Azhar (Master Biokimia), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul,” jelasnya.

Sementara itu, penerima Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Nurin Hanisah Alhajar, seorang graduan program Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian berkata, pengalaman belajar di UPM merupakan kenangan yang sangat berharga yang menjadikannya menjadi lebih matang, berani dan berjaya seperti yang dikecapinya sekarang.

Nurin Hanisah

“Pendidikan yang saya terima di UPM merupakan pengalaman yang sangat bernilai kerana ia memberi peluang kepada saya untuk mengenali diri saya sendiri, dan menceburi pelbagai aspek pembangunan pelajar seperti aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan,” katanya.

Bagi Avril Lim Shu Ting, graduan Doktor Perubatan Veterinar yang juga penerima Pingat Emas Putra Agribio, anugerah yang diterimanya ini akan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk mengejar cita-cita menjadi pakar dalam perubatan internal dalam veterinari yang masih kurang diceburi di negara ini.

Avril Lim

“Oleh itu, saya ingin ucapkan  terima kasih kepada UPM di atas peluang yang diberikan kepada saya dalam mengejar cita-cita menggengam sekalung ijazah kedoktoran dalam bidang yang sangat saya cintai sejak kecil lagi.

Pada masa sama, penerima Pingat Emas Kerjaya Shell MyDinar, Amir Na'im Mat Ayob, graduan Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling dengan Kepujian tidak menyangka dianugerahkan pingat yang berprestij ini kerana calon-calon yang disenaraikan adalah yang terbaik dalam bidang masing-masing.

Amir Na'im

“Alhamdulillah saya amat bersyukur mendapat peluang ini dan saya akan jadikannya sebagai sumber insipirasi untuk saya fokus terhadap kerjaya masa hadapan iaitu untuk menjadi seorang kaunselor bagi membantu remaja-remaja bermasalah sosial kembali ke pangkuan masyarakat,” katanya.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!