KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menegaskan komitmennya dalam melaksanakan pembangunan mampan melalui inisiatif solar yang bertujuan memacu penjanaan tenaga boleh baharu. Amalan teknologi hijau yang diamalkan syarikat bukan sahaja dapat mengoptimumkan kos operasi, namun usaha ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2040.
Sebanyak 396 tapak loji rawatan kumbahan (LRK) telah dipilih secara strategik di seluruh Semenanjung Malaysia. Ia turut dikenal pasti sebagai tapak yang berpotensi dan berdaya maju secara komersil untuk menjalankan pemasangan solar photovoltaics (PV) di bawah Fasa 1. Setelah selesai fasa pelaksanaan ini, IWK dijangka dapat menjana 22,781 Megawatt-jam (MWj) tenaga solar setahun dengan anggaran jumlah penjimatan tahunan elektrik sebanyak RM1.9 juta menjelang tahun 2026.

Mengambil kira hubungan kukuh antara sektor awam dan swasta, IWK menjalinkan kerjasama dengan pakar-pakar pemasangan solar PV, dalam usaha ke arah penyelesaian tenaga mampan. IWK telah menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan empat syarikat untuk melaksanakan projek ini melalui beberapa pakej. Keempat-empat syarikat berkenaan akan melaburkan jumlah perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM84 juta bagi pemasangan 396 tapak.
Di samping itu, penilaian secara terperinci sedang dijalankan bagi pelaksanaan Fasa 2 yang melibatkan 583 tapak berpotensi menjana 21,500 MWj tenaga solar setahun, sekaligus menyumbang penjimatan tahunan tambahan sebanyak RM1.8 juta menjelang 2027. Setelah selesai fasa 1 dan 2, IWK menjangkakan pengurangan sebanyak 34.4 kiloton setara karbon dioksida (ktCO2e) pelepasan karbon menjelang 2027.

Inisiatif projek PV solar akan beroperasi di bawah model Kegunaan Sendiri (SelCo), di mana semua tenaga solar yang dijana akan digunakan di LRK IWK tersebut. Penilaian terperinci telah dijalankan di 8,874 LRK dan rangkaian pam stesyen (NPS) untuk menentukan daya maju pemasangan PV solar.
“Ianya sesuatu yang mengujakan terutamanya apabila tenaga solar yang dijana akan digunakan secara terus untuk pengoperasian loji di tapak tersebut. Inisiatif ini membuktikan komitmen IWK dalam menyokong pembangunan mampan negara yang seiring dengan usaha ke arah pelaksanaan NETR,” kata YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dalam lawatan kerja ke Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Pantai 1 IWK di Kuala Lumpur.

“IWK kekal komited terhadap usaha melestarikan alam sekitar. Kami mengaplikasikan pelbagai teknologi hijau di LRK terpilih,seperti pemasangan PV solar, serta penggunaan semula biproduk biogas yang dijana melalui proses rawatan untuk menghidupkan loji. Ini adalah beberapa contoh bagaimana IWK menyokong matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.
IWK akan terus menyokong inovasi mampan dan mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menangani kesan terhadap perubahan alam sekitar, di samping merealisasikan agenda kemampanan negara. Langkah ini mampu memberi manfaat jangka masa panjang dari segi operasi, alam sekitar, masyarakat serta ekonomi secara keseluruhannya.
Artikel ini disediakan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

