Dalam dunia yang semakin digital, kebimbangan berkenaan pendedahan data semakin meningkat. Ini kerana data merupakan aset yang amat berharga dan tidak ternilai. Sekaligus ia mampu memberikan panduan dan pendorong kepada keputusan serta inovasi yang lebih cemerlang. Walaubagaimanapun, ia juga tidak terlepas daripada risiko dan cabaran. Oleh itu, data peribadi yang seringkali dikumpul dan dikongsi boleh dimanfaatkan tanpa persetujuan dan kesedaran awam.
Menurut tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia, hanya 35.8% pengguna internet di Malaysia yang mempunyai kesedaran mengenai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dan hanya 27.9% daripada mereka yang mengambil inisiatif membaca dasar privasi sebelum berkongsi data peribadi mereka dalam talian. Fakta ini menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang terdedah kepada risiko pelanggaran data, pencurian identiti, penyebaran maklumat palsu, dan penggunaan data mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pada tahun 2022, kerajaan telah melancarkan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP), iaitu dasar nasional yang inklusif, dengan matlamat untuk memupuk perkongsian data merangkumi sektor awam, swasta dan rakyat. Dasar ini adalah kunci utama dalam usaha membudayakan persekitaran perkongsian data yang bukan sahaja kondusif tetapi juga transformatif. Bagi meningkatkan kesedaran dan mengumpulkan maklum balas mengenai NDSP, Kementerian Komunikasi dan Digital telah memulakan siri bual bicara berhubung Dasar Perkongsian Data Nasional – melalui kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Malaysiakini, dan Digital News Asia (DNA), dengan sokongan KKD.
Perbincangan dalam episod kedua siri ini “Adakah Data Anda Terdedah? – Kenapa "Data is the new currency?” menampilkan moderator, Azwan Baharuddin, Ketua Pengarah Urusan, Accenture Malaysia dan ahli panel yang terdiri daripada Ir. Dr. Karl Ng, Naib Presiden, Digital Health & Digital Cities, MDEC, Prof Dr.Ho Chin Kuan, wakil daripada Malaysian Association Of Private Colleges And Universities (MAPCU) dan Siti Nurliza Samsudin dari Technologist, Sinar Project.
Diskusi dimulakan dengan Ir. Dr. Karl Ng yang menyentuh berkenaan data risiko sebagai pengguna. Beliau menyatakan bahawa data dapat meningkatkan perkhidmatan awam, menyediakan sumber pendapatan alternatif, dan membuka peluang perniagaan baru. Contohnya, data lalu lintas seperti perjalanan bas, teksi atau MRT dapat meningkatkan efisiensi pengurusan masa di jalan raya. Dengan itu, pengenalan "Journey planner" juga dapat meningkatkan kelancaran pergerakan ambulans dan kenderaan kecemasan semasa dalam kes kemalangan.

Prof Dr.Ho Chin Kuan juga menambah pandangan dan pemahaman beliau mengenai persoalan ini; “Pada saya, data ini bukan benda yang baru. Dengan teknologi sekarang, data telah mengambil peranan menjadi mata wang baru dan semua sistem menjadi mudah.” Isu ini kemudian diulas oleh Azwan Baharuddin yang berkata rakyat awam seharusnya belajar menggunakan data dengan betul agar tidak terkesan dengan dampak yang tidak elok. Seterusnya, Siti Nurliza berkongsi tentang impak negatif yang melibatkan jenayah siber, perdagangan data secara haram, isu penzahiran data, dan pertukaran data yang berlaku apabila orang awam memberikan data mereka dalam pertukaran perkhidmatan, terutamanya melalui platform media sosial.
Topik perbincangan kemudian diteruskan dengan soalan-soalan dari orang awam;
Cara dan peranan kerajaan dalam memastikan data terlindung?
Soalan ini ditujukan kepada Ir. Dr Karl Ng yang kemudian menyatakan bahawa cara kerajaan mengendalikan isu ini adalah; dengan menyediakan undang-undang untuk mengawal dan melindungi data peribadi. Selain itu, kerajaan juga telah menubuhkan badan pengawasan data untuk memastikan syarikat dan organisasi mematuhi undang-undang tersebut. Penyediaan panduan kepada orang awam mengenai cara-cara melindungi data mereka dan juga tindakan yang perlu dilakukan apabila data mereka dicuri. Tidak lupa juga, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang melanggar dan menyalahgunakan data tersebut. Azwan Baharuddin kemudian memberi respon sejauh mana keberkesanan akta kerajaan ini dan Ir Dr. Karl Ng menjawab; “Dari segi efektif, mungkin boleh ditingkatkan. Dari segi penggunaan data, semuanya melalui kebenaran dari masyarakat sendiri untuk menyimpan dan memproses data.”
Sidang disambung dengan soalan yang seterusnya dituju kepada Prof Dr. Ho Chin Kuan,
Langkah yang paling selamat untuk melindungi data peribadi termasuklah kecerdasan buatan yang masyarakat gunakan.
Beliau menjawab; “Perisian kita memang selamat. Walaubagaimanapun orang ramai masih lagi kurang berwaspada lebih – lebih lagi ketika membeli-belah dalam talian dan juga berkongsi data dengan kecerdasan buatan. Oleh itu, masyarakat boleh menggunakan “service provider” untuk mengelakkan kebocoran data.”
Soalan seterusnya diberi kepada Siti Nurliza Samsuddin untuk membahas cara-cara yang boleh dilakukan sekiranya data diberikan kepada “third party”.
Langkah yang perlu diambil apabila data seseorang diberikan kepada pihak ketiga.
Beliau berkata; mengikut PDPA, syarikat akan memberikan notis kepada pelanggan sebelum memberikan data. Notis ini perlu menyebut dengan jelas tujuan pengumpulan data, dan sebaiknya terdapat dokumentasi daripada kedua-dua pihak yang terlibat. Sekiranya tiada keperluan untuk berkongsi maklumat sensitif, adalah disyorkan untuk ada sistem "masking" untuk melindungi data tersebut. Selain itu, SOP ini boleh digunakan oleh agensi kerajaan, dan ia perlu merangkumi proses data, transaksi, frekuensi, kaedah, dan lokasi penggunaan data. Individu juga berhak memohon akses kepada data yang diberikan dan memohon penghapusan jika perlu.
Had perkongsian maklumat data peribadi dan “monetisation”
Ir. Dr Karl Ng menyambung diskusi dengan mendedahkan cara untuk pengewangan data; “Terdapat akses percuma yang dapat dikesan seperti perkhidmatan peribadi dalam pelayaran. Dari segi pengkomersialan, orang ramai suka berkongsi data lalu meningkatkan sasaran pemasaran yang lebih baik. Seterusnya, pampasan diberikan dalam bentuk baucar selepas mereka mendaftar.”
Soalan kini dibuka untuk semua panel mengenai tindakan pihak berkuasa kepada organisasi yang berkongsi data kepada pihak ketiga yang juga dikenali sebagai “data-breach”. Pengalaman “data-breach” ini dikongsi oleh Prof Dr.Ho Chin Kuan; beliau mengatakan yang data peribadi yang dimiliki pelajar universiti akan digunakan untuk pelbagai tujuan seperti rujukan majikan masa depan. Tindakan undang-undang juga boleh diambil jika tiada asas yang ditetapkan oleh PDPA. Selain itu, pelajar universiti juga memiliki platform yang sesuai untuk berkongsi data seperti pencapaian atau kedudukan pelajar.
Isu terakhir dijawab oleh Siti Nurliza Samsuddin berkenaan perkongsian data dari segi konteks kerajaan dan hak mereka menyimpan data orang ramai. Beliau menyokong kenyataan daripada Prof Dr.Ho Chin Kuan berkenaan “ranking” pelajar dan juga “public service delivery”. Siti Nurliza juga menambah; “Bagi saya, perkongsian data terutama di klinik kesihatan adalah sangat penting untuk mengakses penyakit yang mereka ada atau tujuan vaksinasi. Kita juga perlu bijak untuk memastikan data kita tidak disalahgunakan.”
Moderator, Azwan Baharuddin menutup perbincangan dengan menyimpulkan perkongsian data boleh dilakukan dengan baik sekiranya tindakan proaktif dan pendidikan adalah kunci untuk memastikan masyarakat dilindungi. Sebagai individu, inisiatif harus dilakukan dengan mendidik orang sekeliling mengenai isu ini.
Ingin tahu lebih lanjut mengenai “Adakah Data Anda Terdedah? – Kenapa "Data is the new currency?” Tonton video penuh di - SINI
Kongsi pandangan anda dengan melakukan TINJAUAN dan uji pengetahuan anda dengan mengambil KUIZ sekarang!

