malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Pengumuman
Konvensyen Malaysia Negara Rahmah 2023 - Pendekatan Rahmah Memacu Malaysia Madani
Diterbitkan:  Sep 29, 2023 7:08 PM
Dikemaskini: 11:08 AM
ADS

IKRAM menyedari rakyat Malaysia perlu bersatu padu untuk membaik pulih isu ekonomi, integrasi nasional, kesejahteraan sosial, tadbir urus dan reformasi institusi. Maka dengan itu,  tercetuslah Konvensyen Malaysia Negara Rahmah 2023 (KMNR’23) dengan tema ‘Pendekatan Rahmah Memacu Malaysia MADANI’ sebagai wahana diskusi bagi mengetengahkan model solusi dengan pendekatan rahmah pada 15 September yang lalu di Ideal Convention Centre (IDCC).  

Dalam Wacana pagi yang dihadiri oleh para panelis hebat seperti Dato’ Dr Madeline Berma, Prof. Emeritus Dr. Jamal Othman, Dr. Mohammad Taufik Johari dan Prof Dr. Hanim Salleh.

Antara topik yang disampaikan oleh Dato’ Dr Madeline, Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA) adalah berkenaan Isu Kemiskinan dan Ketidakseimbangan. Antara intipati beliau, “Di Malaysia, kemiskinan itu adalah apa yang difahami oleh masyarakat itu sendiri. Setiap individu masyarakat itu ada definisi mereka berkaitan kemiskinan. Satu lagi tafsiran untuk kemiskinan adalah definisi ahli akademik. Ada tiga cara untuk mengukur kemiskinan. Pertama, kemiskinan mutlak (tegar), kedua kemiskinan relatif dan ketiga kemiskinan multidimensi. Apa yang dimaksudkan Perdana Menteri untuk membasmi kemiskinan itu adalah kemiskinan yang mutlak atau tegar”.

Pengarah KMNR 2023, Prof Dr Hanim Salleh semasa menyampaikan ucapan aluannya di hadapan kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada jemputan khas, penaja, jemputan media, ahli panel pembentang, para peserta serta pakar bidang pada Konvensyen ini menyatakan, “Dua objektif utama konvensyen ini ialah yang pertama, mengupas isu ekonomi, integrasi nasional, kesejahteraan sosial, kepimpinan, tadbir urus dan reformasi institusi bersama pakar bidang dan pemegang taruh. Yang kedua, mengetengahkan model solusi yang praktikal berdasarkan pendekatan rahmah berkaitan isu-isu kesenjangan yang kritikal dalam masyarakat untuk membangun Malaysia MADANI,” ujarnya.

Tambahnya, dalam rangka usaha menyokong usaha-usaha kerajaan dan pembinaan negara, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menubuhkan Jawatankuasa Agenda Nasional IKRAM.

“Setakat ini terdapat 14 buah buku daripada siri penerbitan dan kajian Agenda Nasional,” katanya.

Antaranya adalah Systematic Desktop Study on the Socio-culture of Youths in Malaysia: Personal Values and Tools for Effective Communication, Isu Terbantut Dalam Kalangan Kanak-Kanak Di Malaysia, Masalah Penyalahgunaan Dadah di Kalangan Masyarakat di Malaysia dan Dasar Keluarga Negara: Semakan dan Cadangan Penambahbaikan.

Selain itu, turut diterbitkan Ekonomi Berasaskan Komuniti Untuk Kelestarian Kehidupan: Kes di Balik Pulau, Pulau Pinang, Mobiliti Sosial Melalui Inisiatif Impak Miskin Bandar dan beberapa lagi siri kajian berkaitan mobiliti sosial dan memperkasakan kehidupan komuniti bandar.

Pada sebelah petang telah berlangsung empat persidangan selari yang melibatkan seramai 32 ahli panel pembentang dari pelbagai agensi Kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan swasta, NGO dan CSO.

Persidangan selari yang melibatkan 32 pembentangan yang merangkumi kajian dasar, kajian umum, projek komuniti, advokasi atau model solusi.

Pembentangan ini dibahagikan kepada empat tema besar yang dipilih berdasarkan empat aspek penting dalam Pembangunan Negara Rahmah dan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030), salah satunya adalah berkaitan Kesejahteraan Keluarga, Pendidikan dan Sosial.

Hjh Faridah Maludin (Ahli Kluster Masyarakat Progresif) membentangkan tajuk ‘Pendekatan Rahmah Menangani Isu Salah Guna Dadah’, mengklasifikasikan penggunaan dadah kepada dua kategori iaitu penyalahgunaan dadah dan penagihan dadah. Semua sedia maklum, dadah telah menjadi musuh nombor satu negara sejak 19 Februari 1983 sehingga kini. 

Ujar beliau lagi, “Advokasi yang mengetengahkan pendekatan nyah jenayah ini menyeru supaya isu penyalahgunaan dadah yang bukan tegar tidak dihukum dengan penjara dan denda,”.

Oleh yang demikian, IKRAM mengambil peranan aktif untuk membantu mencari solusi dengan memperkenalkan pendekatan rahmah berpaksikan insan.

Perbincangan yang berlaku pada sesi petang ini dilihat perlunya ada penglibatan dari banyak pihak untuk bersama-sama menghadapi isu-isu yang berlaku di Malaysia ini secara holistik. Dari pembuatan dasar sehingga kepada rakyat keseluruhannya.


Kandungan ini disediakan oleh Nadhirah Khairudin, Jabatan Agenda Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!