GADEK, MELAKA: Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini, DUN Gadek akan menyaksikan pertembungan enam penjuru.
Menurut calon Perikatan Nasional N.07 Gadek, Mohd Amir Fitri Muharam, beliau ingin menubuhkan sebuah hub perniagaan dalam bidang penternakan dan pertanian untuk golongan belia di kawasan Gadek. Hal ini demikian kerana, beliau mendapati majoriti penduduk di kawasan tersebut adalah golongan seperti penternak, pekebun dan peniaga. Oleh itu, inisiatif penubuhan hub ini akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan melipatgandakan usaha kearah penambahbaikan persekitaran perniagaan di zon Gadek.
Memperkasakan latihan kemahiran dalam kalangan belia
“Jika saya diberi peluang untuk menang di PRN DUN Gadek, saya juga akan menekankan pendidikan dalam bidang kemahiran khususnya dalam jurusan profesional, teknologi dan keusahawanan untuk anak-anak muda,” beliau berkata.
Latihan kemahiran seperti berikut adalah usaha penting dalam pembangunan modal insan bertaraf dunia yang dapat mentransformasikan ekonomi kawasan Gadek ke arah status berpendapatan tinggi serta dapat menurunkan kadar pengangguran golongan muda dan penduduk setempat.
Memandangkan sektor keusahawanan adalah penting bukan sahaja untuk ekonomi malah untuk anak-anak muda menceburi bidang peternakan, perkebunan dan perniagaan, salah satu cara untuk menerajui matlamat ini adalah dengan bermula daripada asas teras iaitu pendidikan.
Membangunkan taraf infrastruktur di kawasan Gadek
Di samping itu, fokus beliau dalam PRN DUN Gadek juga adalah terhadap 6 tunjang manifesto Perikatan Nasional terutamanya dalam kecekapan menaik taraf infrastruktur.
“Kemudahan infrastruktur perlu diselenggarakan seperti gelanggang futsal dan lokasi-lokasi aktiviti riadah untuk masyarakat di kawasan Gadek. Saya mendapati gelanggang futsal yang selalu digunakan oleh golongan belia perlu dibaik pulih kerana lampu di situ sudah rosak, lantai gelanggang juga perlu dicat semula, tiang gol yang sudah berkarat dan juga pagar di sekelilingnya perlu diselenggarakan,” ujarnya.
Menyantuni mangsa-mangsa banjir
“Kami juga ingin menubuhkan tabung untuk mangsa banjir dan Gadek Prihatin Rangers iaitu Skuad Sukarelawan Banjir di kawasan ini supaya dapat mengurangkan beban mangsa. Banjir bukanlah satu bencana alam yang boleh dipandang ringan. Oleh itu, adalah wajar bagi semua pihak untuk menumpukan usaha dalam membantu rakyat Melaka yang menjadi mangsa banjir”
Meningkatkan taraf jalur lebar di Gadek
Apabila bercakap tentang jalur lebar, rujukan dibuat kepada sambungan internet dan sistem penghantaran data. Mohd Amir menjelaskan bahawa sistem jalur lebar di kawasan Gadek perlu dipertingkatkan supaya penduduk dan golongan belia mendapat akses pangkalan internet yang berkelajuan tinggi untuk pendidikan dan aktiviti bersosial mereka.
Hubungan harmoni dengan rakyat Melaka
“Disebabkan kes COVID-19 yang kian hari, kian meningkat, kami mengubah corak berkempen dengan menyemarakkan penggunaan media sosial. Melalui platform media sosial, ledakan maklumat berlaku pantas dan berita demi berita disebarkan mengenai isu semasa di PRN Melaka. Penggunaan platform ini juga memberi peluang untuk berhubung dengan anak-anak muda dan mengetahui masalah yang mereka hadapi.”
Untuk golongan yang kurang menggunakan platform tersebut seperti warga emas, saya berjumpa dengan mereka secara “personal touch” di pasar malam, gerai makan, memperkenalkan diri di surau dan masjid, sekaligus cara ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan golongan-golongan tersebut.
Beliau juga berkata bahawa penduduk di kawasan Gadek memerlukan pemimpin yang berwibawa terhadap khidmat bakti rakyat dan pada masa yang sama menyumbang aura positif kepada golongan belia kerana generasi muda hari ini adalah pemimpin masa depan.
[Kandungan Berjenama]