malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Advertorial
Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) memacu kemakmuran ekonomi dan masyarakat
Diterbitkan:  Jul 31, 2021 11:46 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Zaman digital telah membawa transformasi yang tidak pernah kita alami sebelum ini. Penggunaan teknologi pintar yang melibatkan komunikasi antara manusia dan mesin (termasuk komputer dan perantara pintar) membolehkan kita menguruskan sumber dengan lebih cekap dan produktif.

Revolusi Perindustrian Keempat (4IR)

Kepintaran teknologi automasi, robotik, kecerdasan buatan (Al), realiti maya (virtual reality), drone technology, teknologi mesin-ke-mesin (M2M), internet benda (loT), pengkomputeran awan (cloud computing), big data analytics, sistem GPS, kewangan digital (FinTech) dan blockhain, adalah antara tekonologi digital yang mencorak dunia beroperasi, termasuk cara kita bekerja dan berkomunikasi, sama ada di rumah atau di kilang dan mana-mana jua – maka lahirlah Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang menggabungkan alam fizikal (objek, tempat dan masa), digital (teknologi) dan biologi (manusia).

Dasar 4IR Negara

Dasar 4IR Negara yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada 1 Julai 2021 jelas menampilkan kepentingan inovasi 4IR dalam memacu pembangunan sosioekonomi negara bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2030.

Dasar 4IR Negara ini melengkapi MyDIGITAL - Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan pada 19 Februari 2021. Melalui aplikasi teknologi pintar 4IR, kerajaan menyasarkan peningkatan produktiviti sebanyak 30% sambil memperkasakan daya saing rakyat dan negara. Penekanan agenda 4IR juga sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan lnovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, yang bertujuan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Beratus contoh 4IR dalam kehidupan harian

Anda mungkin tertanya-tanya, di mana atau bagaimana 4IR mempengaruhi kehidupan kita. 4IR sebenarnya telah mengubah corak hidup, kerja, niaga, khidmat pelanggan, khidmat kesihatan, pemasaran, peruncitan, penjualan, pembelian, pergudangan, penghantaran, pengangkutan, pengiklanan, pembuatan, kejuruteraan, perbankan, pertanian, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, pengurusan, pengawasan, komunikasi, rekreasi, akses maklumat, pengumpulan data, pemprosesan data dan banyak lagi.

Pendek kata, ia wujud dalam kehidupan harian kita tanpa kita ketahuinya. Dan jika anda perhatikannya dengan lebih mendalam, kesemuanya dijiwai kecanggihan teknologi digital dan jaringan internet berkelajuan tinggi termasuk jalur lebar mudah alih - dengan sokongan perkakasan dan perisian pintar. Untuk memudahkan pemahaman anda tentang penerapan 4IR dalam kehidupan kita, huraian berikut menggambarkan keupayaan dan manfaat kepintaran digital sambil meneroka potensi masa hadapannya.

Landskap tenaga kerja dengan produktiviti jarak jauh.

Jelas sekali, industri pengambilan pekerja menyaksikan satu perubahan yang ketara, sama ada bagi pihak majikan ataupun pekerja. Mungkin ada antara kita yang sudah biasa dengan kesemua proses berikut yang merangkumi pencarian kerja dan temuduga kerja, mesyuarat dan pembentangan tugasan. Dan yang pastinya, tanpa berbicara panjang lebar, kita sudah biasa kerja dari rumah dengan mesyuarat dan pembentangan dalam talian.

Bagaimana pula dengan pekerja jarak jauh yang selama ini memang berada di lokasi berjauhan dari pejabat? Jarak fizikal bukan lagi halangan untuk menyelesaikan tugasan mereka didorong keupayaan teknologi 4IR yang semakin maju dan matang dari semasa ke semasa.

Jadi, pendigitalan bukan sahaja memberi kita produktiviti serta-merta, malah akses kepakaran global, pemantauan masa nyata, fleksibiliti dari segi pengaturan kerja, pengurusan masa dan lokasi kerja, serta penjimatan sumber seperti pengupahan sambilan dan penurunan kos operasi tanpa pejabat tetap.

Bagi golongan ekonomi gig (bebas – ‘freelancing’), 4IR yang serba boleh merupakan daya penggerak utama untuk mengembangkan ruang perniagaan mereka dengan produktiviti jarak jauh.

Akses maklumat jitu di hujung jari

Tahukah anda sistem GPS (Global Positioning System) merupakan gabungan pengkomputeran dan pendigitalan yang sangat penting dalam kehidupan harian kita? Kesemua internet benda (loT) sememangnya dilengkapi keupayaan GPS tanpa anda sedari. Teknologi yang menjangkaui ruang inilah yang menjadikan kehidupan kita lebih baik dan selesa, sama ada kita berada di rumah, pejabat, kilang atau semasa beriadah di luar.

Perkhidmatan internet (Unifi, TIME), Google Search, Google Maps, Google Meet, Gmail, Waze, Grab, Food Panda, Lalamove, Lazada, Shopee, Amazon, Facebook, YouTube, Netflix, MySejahtera (dan aplikasi pintar lain pada telefon bimbit anda), telekomunikasi mudah alih (Celcom, Maxis, Digi), perbankan dalam talian, kajian saintifik, pertanian jitu, kejuruteraan penerbangan, kejuruteraan roket, ketenteraan, navigasi kelautan, perlombongan, misi penyelamatan, dan beratus-ratus lagi – kesemuanya membolehkan kita mengakses maklumat, mengumpul dan memproses data dengan cepat dan tepat di hujung jari! Selain produktiviti serta-merta, kecanggihan teknologi 4IR turut memastikan tugasan kita berjalan dengan lebih lancar, mudah dan selamat.

Nadi penggerak ekonomi sektor pembuatan

Penggunaan teknologi 4IR akan memberi impak positif yang ketara kepada sektor pembuatan termasuk rantaian bekalan yang berkaitan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Penggabungan sistem automasi, robotik, artificial intelligence, virtual reality dan pelbagai teknologi pengkomputeran mudah alih seperti cloud computing dan big data analytics - merupakan nadi penggerak ekonomi sektor pembuatan melalui proses operasi yang lebih cekap, produktif, cepat, tepat dan selamat – dengan output yang lebih tinggi.

4IR membawa teknologi dengan keupayaan jauh lebih tinggi daripada manusia di mana ia mampu berkomunikasi sesama mesin, mesin-dan-manusia, mesin-manusia-mesin dan sebaliknya. Ini membolehkan pengusaha industri membuat pemantauan masa nyata, mengumpul data-data kritikal, membuat tafsiran, unjuran dan keputusan setepat dan secepat mungkin – walaupun hanya dengan menggunakan perantara pintar mudah alih tanpa berada di lokasi pengeluaran, misalnya.

Teknologi robotik semakin penting untuk tingkatkan daya saing

Penggunaan robot untuk tujuan komersial amat luas dan seakan-akan tiada hadnya di mana ia boleh dimanfaatkan untuk proses pemasangan, pelabelan, pengimpalan, pemotongan, pengisaran, pengedapan, penyemburan, pengendalian komponen, pemeriksaan produk, ujian produk, pengemasan, pembungkusan, pengangkutan, pergudangan, pengurusan logistik, dan sebagainya. Sektor automotif adalah satu lagi contoh utama penggunaan robot.

Selain sektor pembuatan dan automotif, teknologi robotik turut digunakan untuk meningkatkan daya saing bagi pengilangan makanan dan minuman, pertanian, hiburan dan rekreasi, penyelidikan makmal, perkhidmatan kesihatan dan keselamatan, penerokaan bumi dan angkasa, pertahanan negara, dan sebagainya.

Ringkasnya, gabungan teknologi automasi, robotik dan penderiaan telah menghasilkan pelbagai ciptaan berinovasi tinggi yang membawa kemajuan dan keselesaan hidup kepada kehidupan harian kita sambil membuka peluang perniagaan baharu kepada pengusaha industri.

Kesinambungan teknologi 4IR dalam produk pengguna

Ini adalah disebabkan kesinambungan teknologi 4IR telah diadaptasikan ke dalam pelbagai produk pengguna seperti telefon bimbit pintar, jam tangan pintar, basikal pintar, televisyen pintar, sensor perubatan, alat kawalan dengan sokongan carian suara, sistem keselamatan kawalan jauh, produk elektrikal lain dengan teknologi pintar, kelengkapan rumah dengan teknologi internet termasuk kawalan suara, dan lain-lain.

Bagi usahawan digital, ekosistem dalam talian yang matang dan saling melengkapi antara satu sama lain akan memudahkan proses perniagaan di mana wujudnya pihak-pihak tertentu dengan kepakaran tertentu untuk menguruskan tugasan berlainan seperti pengeluaran, pergudangan, penghantaran, pemasaran, perbankan dan khidmat pelanggan.

Jadi, penerimagunaan teknologi 4IR bukan sahaja memberi kecekapan operasi dan produktiviti pengeluaran ataupun pekerjaan, ia turut menyumbang kepada peningkatan nilai ekonomi dan tahap pendapatan – untuk kemakmuran industri dan masyarakat, malah penggunaan sumber alam sekitar yang lebih cermat – yang akhirnya memperkukuhkan lagi daya saing negara.

Sila klik Dasar 4IR Negara untuk ketahui lanjut tentang pelan tindakan ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!