malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Rekod 100M Zaidatul belum diiktiraf
Diterbitkan:  Jun 19, 2017 11:44 AM
Dikemaskini: 3:47 AM
ADS

Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih belum mengesahkan catatan 11.45 saat yang dilakukan Zaidatul Husniah Zulkifli di Afrika Selatan pada 9 Mac lepas, untuk diiktiraf sebagai rekod kebangsaan.

Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim menjelaskan pihaknya masih menunggu dokumen berkaitan penjelasan teknikal daripada pihak penganjur Kejohanan ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan untuk mengiktiraf catatan itu.

Justeru, beliau berkata rekod kebangsaan acara 100 meter wanita, masih milik bekas pelari pecut kebangsaan, G Shanti dengan catatan 11.50s yang dilakukan pada 1993.

“Bagi mengesahkan rekod ini, kita perlu mempunyai dokumen yang berkaitan, terutamanya imej, arah angin, masa dan sebagainya. Kita sudah memaklumkan kepada Persatuan Olahraga Afrika Selatan (SAAA) dan sehingga kini mereka belum memberikan apa-apa dokumen kepada kita.

“Saya amat kecewa dengan penganjur kerana tidak memberikan kita dokumen yang diperlukan. Tidak adil kepada atlet apabila mereka mempamerkan prestasi yang baik tetapi rekod mereka tidak diiktiraf disebabkan kecuaian pihak penganjur,” katanya kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pemilihan Sukan SEA KOM di Wisma OCM di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar Afrika Selatan melaporkan bahawa SAAA bakal menyiasat kesahihan masa pada kejohanan tersebut yang mencurigakan apabila lebih 60 peratus peserta mencatat masa peribadi terbaik bagi acara pecut dan lari berhalangan.

Karim berkata walaupun rekod Zaidatul itu masih belum diiktiraf, pelari pecut berusia 23 tahun itu masih boleh menggunakannya sebagai catatan masa terbaik peribadinya.

Zaidatul melakukan catatan itu ketika sesi jelajah Afrika Selatan dengan meraih tempat kedua di belakang pelari tuan rumah, Tamzin Thomas yang mewakili University of Western Cape (11.44 saat) manakala tempat ketiga diraih seorang lagi atlet tuan rumah, Tsaone Sebele dari University of Johannesburg dengan masa 11.48s.

Lihat Komen