malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Pendaki tertua M'sia dijangka tiba hari ini
ADS

Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng yang dimasukkan ke hospital di Nepal setelah mengalami sakit dada yang teruk pada 20 Mei lepas dalam cubaan mendaki Gunung Everest, dijangka tiba di tanah air hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Lions Mount Everest Expedition (MEE) Sherine Leong berkata Lee, 69, dijangka tiba pada 8 malam hari ini dengan pesawat Malaysia Airlines.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata Lee dijangka bertolak dari Kathmandu pada 1.05 tengah hari waktu tempatan dan beliau dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Pada 20 Mei lepas, Lee sepatutnya mendaki ke Kem 3 dan seterusnya ke puncak gunung tertinggi dunia itu dari Kem 4 sebelum diterbangkan dengan helikopter ke sebuah hospital di Kathmandu.

Beliau dilaporkan mula mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas ketika berada di Kem 2.

Dalam percubaannya untuk mendaki Gunung Everest pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan pendakian itu pada peringkat akhir di Kem 3 pada ketinggian 7,200 meter, berikutan cuaca buruk. Gunung Everest adalah gunung tertinggi dunia, dengan ketinggian 8,848 meter.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah rakan media misi berkenaan, yang dikenali sebagai Ekspedisi Gunung Everest (MEE) Lion 2017, anjuran Lions Club Port Dickson Pantai.

Lee membawa dua mesej penting iaitu untuk memberi inspirasi kepada masyarakat di setiap peringkat umur supaya memanfaatkan kesihatan yang baik untuk terus aktif, dan menarik perhatian terhadap perlunya memelihara alam sekitar.

- Bernama

Lihat Komen