malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Air mata iringi perpisahan Totti selepas 28 tahun
Diterbitkan:  May 29, 2017 8:18 PM
Dikemaskini: 12:24 PM
ADS

Kemenangan AS Roma membenam Genoa 3-2 menjadi detik bermakna buat bintang bola sepak Itali, Francesco Totti, yang mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional awal pagi tadi.

Pada aksi di terakhir Serie A di Stadium Olimpico, Rome itu Totti mengakhiri khidmatnya sebagai pemain selepas 25 tahun bersama skuad La Maggica itu.

Sebaik tamat perlawanan itu, Totti memberi penghormatan terakhir ke setiap penjuru stadium bagi membalas penghargaan penonton, disusuli ucapan perpisahan yang dibaca dengan linangan air mata.

"Kita semua berada di sini. Detik itu akhirnya tiba. Ini detik yang sebenarnya saya harapkan tidak pernah terjadi," kata pemain berusia 40 tahun itu seperti dilaporkan Football Italia.

"Pada beberapa hari terakhir ini, banyak perkara diperkatakan mengenai saya. Perkara yang indah-indah. Kalian semua berada di belakang saya, menyokong dalam keadaan sukar pun.

"Kerana itu, saya mengucapkan terima kasih kepada kalian semua," katanya yang ditemani isterinya, Ilary Blasi.

Menjelaskan mengenai tangisannya, Totti menyifatkan pengalaman selama 25 tahun bersama kelab itu dan 28 tahun kariernya tak mungkin dilupakan.

"Terima kasih semua, biar pun ini sukar bagi saya. Terima kasih kepada ayah, ibu, saudara dan rakan-rakan. Terima kasih isteri dan ketiga-tiga anak saya. Saya mulakan daripada mereka kerana tak yakin boleh mengakhirnya.

"Sukar untuk melukiskan perjalanan 28 tahun dalam beberapa fasa. Saya sebenarnya mahu melakukannya dengan nyanyian atau puisi. Tetapi tak pandai kedua-duanya.

"Saya hanya cuba menunjukkan kejantanan saya, sebab segalanya dilihat mudah dengan cara demikian," jelasnya.

Totti mengenakan jersi nombor 10 sepanjang berkhidmat bersama AS Roma selama 24 musim atau 25 tahun.

Selama itu, dia berjaya membawa kelab itu mengungguli Serie A pada musim 2000/01.

Lihat Komen