malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Indonesia, Malaysia ungguli FIBA 3X3 Asia
ADS

Lembaran baru untuk Asia Tenggara apabila Indonesia dan Malaysia layak ke perlawanan akhir kejohanan FIBA 3X3 Asia bawah 18 tahun dalam kategori wanita.

Walaupun tidak mampu mengatasi Indonesia untuk meraih pingat emas dan terpaksa akur dengan 13-6, skuad negara menonjolkan prestasi yang sangat baik dengan memperoleh pingat perak.

Skuad wanita kebangsaan memperbaharui kedudukan mereka berbanding tahun lalu sekadar memenangi pingat gangsa.

Hari terakhir kejohanan bola keranjang 3X3 juga mencatat sejarah baru apabila tiga pasukan Asean; Indonesia, Malaysia dan Singapura antara empat pasukan terbaik di Asia. Pasukan China pula mendapat pingat gangsa selepas mengalahkan Singapura 17-14.

Pada sesi perlawanan kalah mati dalam suku akhir, Malaysia juga mengalahkan juara bertahan Jepun 11-8, julung-julung kalinya untuk skuad negara yang menonjolkan permainan yang sangat konsisten.

Ketua jurulatih pasukan skuad wanita yang juga merupakan penolong jurulatih pasukan wanita kebangsaan, Choo Seck Yun sangat berbangga dengan anak buahnya dalam kejohanan kali ini apabila berjaya mencapai keputusan yang lebih baik daripada sasaran awal.

"Skuad kita mencipta sejarah dan menjadi 'lagenda' dalam negara selepas mengalahkan Jepun.

"Pasukan Jepun merupakan pasukan terbaik di Asia. Saya kerap beritahu para pemain untuk teruskan perjuangan dan tidak berputus asa. Kalau dapat kalahkan Jepun dalam perlawanan itu, kamu telah mencipta sejarah baru di Malaysia," kata Choo kepada Malaysiakini.

Dalam perlawanan akhir untuk pingat emas, pasukan Indonesia yang juga tampak letih selepas menundukkan China dalam pusingan separuh akhir mengekalkan momentum dan menguasai gelanggang.

Skuad negara yang bertungkus-lumus cuba untuk mengejar kembali jaringan mata yang didahului Indonesia terpaksa akur tetapi mereka berpuas hati dapat memungut pingat perak bersama jiran Indonesia.

Pasukan bola keranjang Malaysia yang diwakili oleh Chow Pui Yee, Foo Suet Ying, Lim Jing Zhe dan Yap Siew Hong tampak gembira dengan pingat perak ketika ditemui Malaysiakini selepas berakhirnya kejohanan.

Foo Suet Ying yang juga dianugerahkan sebagai salah satu pemain terbaik dalam kejohanan ini merasakan mereka telah menjangkaui sasaran kali ini.

"Lebih baik daripada yang dijangkakan kami pada awal kejohanan. Kali pertama untuk kami mengalahkan Jepun merupakan pengalaman yang paling manis. Skuad kami telah memberikan yang terbaik dan kemenangan ke atas Jepun memberikan dorongan untuk menghabiskan kejohanan ini dengan prestasi yang lebih baik.

"Walaupun agak sedih kami tidak mendapat pingat emas dalam final, menjadi dua pasukan terbaik Asia dan mengalahkan juara-juara seperti China, Chinese Taipei dan Taiwan. Mulai hari ini, Malaysia akan menjadi lebih baik daripada dulu," kata Foo kepada Malaysiakini.

Lihat Komen