malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Mampukah Malaysia rangkul pingat emas Sukan SEA?
ADS

Kejohanan bola keranjang untuk rantau Asia Tenggara untuk kedua-dua skuad junior dan senior kebangsaan berakhir membawa harapan baru untuk sukan itu di Malaysia.

Sungguhpun skuad lelaki senior menduduki tempat keempat di belakang Filipina, Indonesia dan Thailand, kita dapat melihat betapa pentingnya mereka diberi peluang menyaingi pasukan lain Asean.

Walaupun skuad kebangsaan gagal menempatkan diri dalam tiga kumpulan teratas pada kejohanan itu, kita percaya pada podium Sukan SEA nanti, masih ada peluang cerah buat Malaysia.

Berdasarkan kepada kejohanan itu dapat dilihat betapa sukarnya negara-negara lain cuba menumpaskan skuad senior atau junior Filipina.

Indonesia dan Thailand mengadakan liga profesional bola keranjang di negara masing-masing untuk memberikan pendedahan lebih baik buat pemain tempatan.

Justeru Thailand dan Indonesia mampu melahirkan ramai pemain profesional yang setanding dengan Filipina.

Memang Filipina selalu mendominasi pingat emas Sukan SEA dan sejak 1977, mereka mendapat 17 kali mengunggulinya, selain sekali pingat perak pada 1989. Ketika itu, tuan rumah - Malaysia - mengalahkan Filipina.

Untuk rekod Malaysia pula, pasukan lelaki kebangsaan mendapat pingat emas sekali, tujuh perak dan lima gangsa.

Ada sasaran realistik

Berbeza pula untuk pasukan wanita kebangsaan yang mendominasi pingat emas. Malaysia mendapat 12 pingat emas, satu perak dan lima gangsa, diikuti Thailand dan Filipina di tempat ketiga.

Ketika ditemui Malaysiakini di Manila selepas kejohanan SEABA minggu lalu, ketua jurulatih lelaki kebangsaan, Goh Cheng Huat, berpuas hati dengan prestasi anak buahnya tetapi mengakui masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan.

"Secara keseluruhannya, saya agak berpuas hati sepanjang kejohanan ini.

"Sasaran realistik saya dalam SEABA sebenarnya ingin mengalahkan Singapura. Dan saya gembira matlamat itu tercapai," katanya.

Goh juga merasakan jadual perlawanan SEABA minggu lalu agak mencabar dan memaksa pemain memberikan sepenuh tenaga untuk berdepan lawan.

"Sebab itulah, prestasi pasukan Malaysia, Vietnam dan Myanmar agak hambar. Ia macam sebiji belon yang ditiup tanpa henti sehingga akhirnya meletup.

"Untuk perlawanan menentang Vietnam dan Myanmar, pemain seperti sebiji belon yang sudah kempis. Pemain beraksi secara leka. Inilah perbezaan ketara prestasi awal dan akhir pasukan ketika itu," katanya.

Goh berkata pasukan kebangsaan sebenarnya boleh beraksi dengan lebih baik pada awal empat perlawanan jika mempunyai fokus yang betul.

Sementara itu 'sumpahan' suku ketiga yang sering membelenggu pasukan kebangsaan berlarutan sejak dua tahun ini.

Dari kejohanan antarabangsa hinggalah Liga Bola Keranjang Asean, pemain kebangsaan kita tidak mampu mengekalkan momentum yang baik sepanjang perlawanan.

Kata Goh, pemain gagal mengekalkan momentum pada separuh masa kedua, terutamanya dalam suku ketiga dan keempat perlawanan.

"Biarpun gigih berlatih untuk aspek ketahanan dan kekuatan, mereka gagal pada suku ketiga dan keempat. Peratusan jaringan dan hantaran menurun.

"Konsentrasi pertahanan pula mula rapuh. Inilah antara kelemahan pasukan kita yang saya dapat perhatikan," kata Goh yang juga berharap untuk mengatasi kelemahan itu sebelum perlawan ujian pertama pada bulan Jun nanti.

Sungguhpun Malaysia hampir-hampir mendapat pingat semasa kejohanan SEABA, Goh yakin mereka dapat mencapai podium pada Sukan SEA beberapa bulan lagi.

Katanya, tempat keempat dalam SEABA hanyalah langkah pertama untuk prestasi yang lebih baik nanti.

"Saya yakin, kecuali Filipina menghantar pasukan yang sama. Mereka berada di kelas yang lebih tinggi daripada kita. Sukar untuk kita tangani.

"Bagi pasukan Asean yang lain, saya yakin kita dapat tangani.

"Pasukan Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia umumnya menjawab segala kemusykilan, ini adalah antara pasukan yang saya sasarkan," katanya.

Lihat Komen