malaysiakini logo
story-image
ADS

Negeri Sembilan terus mengungguli carta liga walaupun seri 1-1 menentang pasukan tercorot, Perlis pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, semalam.

Keputusan itu tidak menggugat kedudukan skuad Rusa yang masih berada di tangga teratas Liga Perdana dengan kutipan 27 mata selepas mengharungi 11 perlawanan setakat ini.

Negeri Sembilan meraih gol menerusi jaringan sendiri pemain Perlis, Syafiq Azri Ahmad Kamal, manakala pasukan tuan rumah memperoleh gol menerusi Alafi Mahmud dan kedua-dua gol dijaringkan pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Terengganu pula merampas kedudukan kedua liga daripada Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) setelah menang tipis 2-1 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

JDT II terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol penyerang import dari Argentina, Jeronimo Barrales seawal minit kelima perlawanan, sebelum skuad Penyu bangkit melakar dua jaringan menerusi Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-29 dan Federico Falcone pada minit ke-69.

PKNP FC pula turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga setelah seri 1-1 ketika berdepan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Penyerang PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri terlebih dahulu meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-13 sebelum Akanni Sunday Wasiu menyamakan kedudukan untuk UiTM FC pada minit ke-76 dan keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berjaya menempah tiket ke saingan Piala Malaysia yang dijadual berlangsung Julai ini.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dua jaringan pada babak kedua perlawanan membantu pasukan Kuala Lumpur menang tipis 2-1 ke atas kelab MISC-MIFA, sekali gus turut layak ke saingan Piala Malaysia.

Kelab MISC-MIFA terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pemain import dari Cameroon, Bodric Dimitri Tagne Foguieng pada minit ke-13 sebelum Kuala Lumpur bangkit meraih dua jaringan melalui sentuhan penyudah dua pemain import, Modibo Konte pada minit ke-53 dan Guilherme de Paula pada minit ke-85.

Di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama perlawanan untuk menewaskan Kuantan FA 4-3.

Venice Elphi muncul wira skuad 'The Gladiators' menerusi jaringan hatrik pada minit ke-50, 55 dan 75 serta Zainal Jakaria pada minit ke-24, manakala tiga gol pasukan Kuantan FA dihasilkan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-15, Ljubo Baranin (minit ke-43) dan Sim Woon-Sub pada minit ke-71.

Dalam pada itu, Sabah kembali dirundung malang setelah tewas 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tiga gol PDRM dijaringkan Muhammad Safuwan Baharudin pada minit ke-15, Dao Bakary (minit ke-34) dan Shahurain Abu Samah pada minit ke-67, manakala gol tunggal Sabah disumbangkan Maxsius Musa pada minit ke-39. -Bernama

Lihat Komen