malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
FAM tetap enggan jumpa Korea Utara di Pyongyang
ADS

FAM bertegas mahu perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 8 Jun ini diadakan di gelanggang berkecuali.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pihaknya masih kekal dengan pendirian itu walaupun Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) mahu perlawanan berkenaan dilangsungkan di Pyongyang.

"Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai penganjur akan memutuskan perkara ini. PRKFA ada menghantar surat kepada AFC menyatakan keinginan mereka bermain di Pyongyang dan memberi jaminan keselamatan terhadap skuad negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) yang disempurnakan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi di Kuala Lumpur semalam.

Hamidin berkata AFC mahukan surat daripada kerajaan, sama ada dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun Kementerian Luar bagi mengukuhkan permintaan FAM.

"Kita akan adakan satu mesyuarat bersama KBS yang akan dipengerusikan ketua setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali, bagi membincangkan perkara ini.

"Yang penting, saya bersama Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta pegawai tertinggi FAM sepakat tidak mahu aksi Harimau Malaya dengan Korea Utara berlangsung di sana (Pyongyang)," katanya.

Sementara itu, Hamidin turut mengesahkan semua aksi skuad negara bagi kempen kelayakan Piala Asia 2019 akan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Beliau berkata FAM mempunyai strategi tersendiri selain faktor kemudahan dan infrastruktur di stadium itu yang memenuhi kriteria.

"Kita juga sudah hantar surat kepada AFC. Sebelum ini gelanggang kita di Stadium Shah Alam, Selangor dan Stadium Nasional, Bukit Jalil, tapi kali ini kita telah bermesyuarat untuk bermain di Larkin bagi semua perlawanan pusingan kelayakan itu," katanya.

Pertemuan Malaysia dan Korea Utara seharusnya dilangsungkan pada 28 Mac lepas tetapi terpaksa ditangguhkan atas permintaan FAM yang mahu ia dilangsungkan di gelanggang berkecuali.

Ini berikutan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbangan Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Febi lepas.

- Bernama

Lihat Komen