malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Sambutan Larian Obor KL2017 menggalakkan
ADS

Seramai 5,000 orang memohon untuk menyertai Larian Obor KL2017 sempena Sukan SEA dan Sukan Para Asean pada Ogos depan diterima setelah pendaftaran ditutup Jumaat lepas.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagaimanapun pihaknya hanya memerlukan 3,400 peserta untuk larian yang membawa obor mengeliling negara bermula di Johor Bahru pada 14 Mei ini sehingga pembukaan Sukan SEA pada Ogos depan.

"Sambutan orang ramai untuk menyertai larian ini adalah amat menggalakkan," katanya kepada pemberita sempena program KL2017@Sekolah di Sekolah Kebangsaan Chembong di Rembau hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris.

Mengenai program KL2017@Sekolah yang bermula sejak 2 Mac lepas pula, Khhairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata sambutan terhadapnya juga amat menggalakkan. Setakat ini program itu (KL2017@Sekolah) telah singgah ke-21 sekolah di seluruh negara.

"Selepas kita bawa program ini, kesedaran berkenaan Sukan SEA 2017 semakin meningkat. Saya pasti setelah Larian Obor dilangsungkan, lebih ramai lagi akan menyedari berkenaan KL2017 dan semangat kita sebagai tuan rumah itu akan lebih menyerlah nanti," kata Khairy.

Program tersebut membawa dua mesej penting iaitu semua rakyat Malaysia bangkit bersama dalam menyokong KL2017 dan membantu memastikan penganjuran temasya sukan kali ini yang terbaik pernah disaksikan dalam sejarahnya.

Ia juga berkenaan memupuk sikap cintakan alam sekitar yang mana kali ini merupakan penganjuran kali pertama yang menjadikan temasya tersebut bertemakan Green Games.

"Saya rasa sangat sesuai untuk gunakan pentas KL2017 ini bagi menanam budaya sayangkan alam sekitar dan menjimatkan penggunaan elektrik serta menggalakkan budaya kitar semula," katanya.

- Bernama

Lihat Komen