malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang bukanlah ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu walaupun ada spekulasi yang mengaitkan namanya dengan jawatan itu.

Andai masih ada yang mengharap, jawapan isterinya, Asarapa Senamuang yang dihubungi Bernama di Bangkok hari ini, pasti akan mematikan segala impian itu.

"Tidak, dia tidak ada mengadakan perbincangan dengan mana-mana pasukan ketika ini. Sekarang dia hanya melakukan kerja sendiri dan belum menerima sebarang tawaran daripada sesiapa," katanya ketika ditanya spekulasi yang mengaitkan suaminya dengan jawatan yang sebelum ini disandang Datuk Ong Kim Swee.

Kiatisuk atau dikenali sebagai 'Zico Thailand' dipecat oleh Persatuan Bola Sepak Thailand berikutan persembahan hambar skuadnya sewaktu pusingan kelayakan Piala Dunia zon Asia, apabila mereka hanya mengutip satu mata daripada tujuh perlawanan.

Menurut Asarapa, bekas penyerang handalan itu kini hanya mahu berehat dan belum bersedia untuk mengendalikan mana-mana pasukan.

Dalam sidang media di Johor Bahru semalam , Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata nama pengendali baharu skuad Harimau Malaya akan diumum dalam masa terdekat.

Menurut Tunku Ismail, pertemuan dengan individu yang bakal menjadi ketua jurulatih negara akan diadakan bagi menilai kesesuaiannya dengan tugas itu tetapi enggan menamakan calon tersebut.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor sebelum ini mengumumkan bekas pengendali Johor Darul Ta'zim, Mario Gomez sebagai jurulatih Harimau Malaya tetapi ia tidak menjadi selepas warga Argentina itu dikatakan mahukan gaji yang lebih tinggi.

Berikutan pemecatan Kiatisuk, Thailand turut mencari penggantinya dengan beberapa nama jurulatih antarabangsa terkemuka dilaporkan telah mengemukakan permohonan menjadi pengendali skuad Gajah Perang itu.

Antara jurulatih yang dikaitkan dengan jawatan itu adalah bekas ketua pasukan dan pengendali yang membawa Brazil menjuarai Piala Dunia, Carlos Dunga, pengurus Leicester yang dipecat, Claudio Ranieri, bekas jurulatih Thailand, Wilfried Schaefer dan bekas pengendali Argentina, Alejandro Sabella.

-Bernama

Lihat Komen