malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
AFC akan bincang lokasi pertemuan M'sia - Korea Utara
ADS

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan segera mengadakan perbincangan dengan anggota gabungannya yang berpotensi untuk menjadi tuan rumah aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara, dijadual pada 8 Jun ini.

Dalam kenyataan badan induk bola sepak Asia itu semalam, ia berkata perkara itu diputuskan selepas Korea Utara gagal mengemukakan cadangan gelanggang berkecuali bagi perlawanan berkenaan walaupun diberi tempoh berbuat demikian sehingga 14 April lepas.

AFC bagaimanapun menegaskan keputusan muktamad berhubung perlawanan di gelanggang berkecuali itu bergantung kepada perkembangan terkini hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berikutan kerajaan Malaysia telah mengenakan larangan perjalanan kepada rakyatnya ke Korea Utara.

"AFC kini menunggu maklumat terbaru daripada FAM sama ada larangan perjalanan itu masih berkuat kuasa atau telah ditarik balik, dan AFC tidak akan membuat ulasan lanjut pada masa ini," kata kenyataan itu.

Skuad Malaysia yang sebelum ini dilatih Datuk Ong Kim Swee, dijadual menentang Korea Utara dalam perlawanan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun, ketegangan politik berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lalu menyebabkan kerajaan Malaysia melarang skuad negara beraksi di sana atas faktor keselamatan.

Berikutan itu pada 13 Mac lepas, FAM memohon kepada AFC agar perlawanan berkenaan diadakan di gelanggang berkecuali.

- Bernama

Lihat Komen