malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Stadium Shah Alam tuan rumah final Piala FA
ADS

Stadium Shah Alam dipilih sebagai venue final Piala FA 2017 yang bakal berlangsung pada 20 Mei ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Beliau berkata walaupun terdapat cadangan untuk membawa final Piala FA di luar daripada Lembah Klang, namun ia tidak fleksibel selepas pihaknya mempertimbangkan beberapa faktor termasuk fasiliti yang ada di stadium berkenaan.

"Permintaan untuk menyaksikan final Piala FA amat tinggi sekali pada setiap musim terutamanya seperti di Stadium Shah Alam sehingga mencecah 80,000 penyokong.

"Jadi cadangan untuk membawa perlawanan akhir Piala FA ke luar Lembah Klang bukanlah satu langkah terbaik," kata Ramalingam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2017 di Ibu Pejabat FMLLP di Petaling Jaya hari ini.

FMLLP merupakan pentadbir utama Liga Malaysia bermula musim 2016.

Dalam pada itu, Ramalingam memaklumkan perlawanan akhir kali ini bakal menjanjikan kelainan dengan lebih berfokuskan kepada konsep kekeluargaan selain kawalan keselamatan termasuk penjualan tiket palsu dipertingkatkan bagi mengelak penyokong yang tidak berkenaan daripada memasuki stadium.

Beliau menegaskan isu penjualan tiket palsu sentiasa wujud menjelang aksi final sesebuah pertandingan memandangkan tiket mendapat permintaan tinggi daripada penyokong yang gagal memasuki stadium disebabkan kehabisan tiket.

"Tiket yang dikeluarkan sentiasa mempunyai ciri keselamatan seperti ultra violet, hologram dan sebagainya. Jadi kita boleh mengenal pasti sama ada sesuatu tiket itu palsu.

"Dalam mesyuarat tadi, kita telah berbincang dengan Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat yang telah memberikan pandangan beliau mengenai cara mengatasi kemasukan penyokong menggunakan tiket palsu," katanya.

Sementara itu Shafien menegaskan pihaknya telah menubuhkan pasukan khas yang akan melakukan pemeriksaan di setiap pintu masuk Stadium Shah Alam bagi mengesan penyokong yang cuba menggunakan tiket palsu untuk menyaksikan final Piala FA.

Katanya tindakan tegas akan diambil termasuk menahan pembeli dan penjual tiket palsu sambil memberi amaran kepada pengeluar tiket palsu untuk menghentikan perbuatan sedemikian.

"Pemeriksaan di pintu masuk juga akan dipertingkatkan dan daripada situ insya-Allah kita dapat mengatasi perkara berkenaan," jelas Shafien sambil mendedahkan pihaknya berjaya mengesan sejumlah 30 tiket palsu digunakan penyokong untuk menyaksikan final Piala Malaysia 2016 antara Kedah dan Selangor. -Bernama

Lihat Komen