malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Felda United tempah laluan sukar
Diterbitkan:  Apr 19, 2017 10:53 PM
Dikemaskini: 2:55 PM
ADS

Felda United menempah laluan sukar untuk meraih dua kedudukan terbaik Kumpulan G dalam saingan Piala AFC apabila tewas 1-3 kepada Tampines Rovers, sebentar tadi.

Walaupun beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, anak buah B Sathianathan gagal memanfaatkan kelebihan mereka.

Gawang pasukan tuan rumah berjaya digegarkan melalui jaringan Ivan Jakov Dzoni pada minit ke 29 untuk kedudukan 1-0 separuh masa pertama.

Skuad The Fighters bagaimanapun tampil menyamakan kedudukan seawal sepak mula 45 minit kedua melalui sentuhan Norshahrul Idlan Talaha.

Namun, kedudukan terikat 1-1 tidak bertahan lama apabila Khairul Amri Kamal memberi gol kedua buat Tampines Rovers pada minit ke 68.

Kira-kira empat minit berselang, pemain berusia 32 tahun itu berjaya menghadiahkan satu lagi jaringan buat skuad The Stags untuk keputusan berakhir dengan 3-1.

Hasil keputusan itu, Felda United kini berada di kedudukan terakhir dengan bekalan lima mata dan berbaki satu perlawanan berdepan Hanoi FC untuk menentukan nasib mereka.

Hanoi berada di posisi kedua kumpulan dengan lapan mata selepas lima perlawanan dan Felda United perlu menewaskan mereka sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol untuk layak ke peringkat seterusnya.

Namun, dalam masa sama nasib Shukor Adan dan rakan-rakan juga bergantung kepada satu lagi aksi melibatkan Tampines Rovers dan Ceres Negros FC di tangga teratas dengan lapan mata.

Justeru, Felda United perlu mengatasi Hanoi FC di samping berharap Tampines Rovers tewas di tangan Ceres pada perlawanan akhir Kumpulan G.

Mereka akan berkunjung ke gelanggang Hanoi pada 3 Mei depan bagi menentukan nasib sama ada layak ke peringkat seterusnya atau langkah mereka berakhir setakat itu sahaja.

Lihat Komen