malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Terengganu beri RM200,000 pada Azizulhasni
Diterbitkan:  Apr 19, 2017 5:04 PM
Dikemaskini: 9:05 AM
ADS

Kerajaan Terengganu memberi ganjaran RM200,000 kepada jaguh lumba basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berjaya merangkul kejuaraan dunia pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia 2017 di Hong Kong, baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata ganjaran itu melibatkan wang tunai RM100,000, manakala RM100,000 lagi adalah bagi membiayai latihan Azizulhasni di dalam atau luar negara.

"Kejayaan ini amat membanggakan negara dan kita harap ia dapat memberi suntikan semangat kepada Azizulhasni untuk terus menempa kejayaan dalam arena berbasikal, sekaligus menjadi contoh kepada mereka yang lain.

"Kita juga tiada masalah untuk menaja pelumba ini dan menerusi skim latihan. Azizulhasni boleh memberikan perancangan sama ada untuk membeli kelengkapan atau sebagainya...sesi latihan bergantung kepada beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan wira negara itu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' muncul pelumba Malaysia pertama meraih gelaran dunia apabila menjuarai acara Keirin pada Kejohanan Dunia di Hong Kong, Khamis lepas.

Terdahulu, Azizulhasni diberi sambutan meriah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, dengan kehadiran kira-kira 1,000 peminat sukan berbasikal termasuk pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG).

Beliau kemudian diarak menaiki kenderaan pacuan empat roda, sambil diiringi 200 penunggang basikal tempatan sehingga ke perkarangan Wisma Darul Iman.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata pihaknya juga akan terus memantau perkembangan Azizulhasni serta atlet lain dari semasa ke semasa, termasuk dari segi keperluan mereka untuk bersaing pada temasya sukan berprestij.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat melantik Azizulhasni sebagai duta dalam bidang sukan dan pelancongan selaras dengan Tahun Melawat Terengganu 2017.

"Namun kita akan perincikan kembali perkara ini dan jika Azizulhasni mempunyai ruang dan peluang, kita akan susun program yang bersesuaian nanti," katanya.

-Bernama
 

Lihat Komen