malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Penajaan KL 2017 sasar RM80 juta - Khairy
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 3:32 PM
Dikemaskini: 7:39 AM
ADS

Kementerian Belia dan Sukan yakin untuk mencapai sasaran penajaan RM80 juta bagi Sukan SEA ke-29 dan juga Sukan Para ASEAN ke-9 yang juga dikenali sebagai KL 2017.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (Masoc) telah dapat mengumpul penajaan RM70 juta setakat ini dan percaya baki RM10 juta itu dapat dicapai sebelum sukan itu berlangsung Ogos depan.

"Saya berasa lega kerana kita dapat mencapai hampir 90 peratus di sebalik keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Masoc dan semua rakan kita yang telah membantu kita mencapai jumlah itu (RM70 juta)," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyampaian penajaan dari Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) kepada KL 2017, di
Putrajaya hari ini.

PAMB muncul sebagai penaja kategori perak bagi Sukan SEA yang akan
berlangsung mulai 19 hingga 31 Ogos dan Sukan Para ASEAN bermula 17 hingga 23 September di mana syarikat insurans itu akan menyediakan perlindungan insurans bagi 13,000 sukarelawan dan juga wang tunai bagi KL 2017.

Sehubungan itu, Khairy berkata kesemua sukarelawan yang dipilih daripada 30,000 permohonan itu kini menjalani latihan yang disediakan oleh Masoc bagi mempersiapkan diri mereka untuk kedua-dua sukan itu.

"Itupun mereka kena datang sesi latihan sebanyak dua kali. Sesi latihan
pertama adalah umum manakala sesi latihan kedua adalah latihan khusus di mana kita akan pilih 13,000 (sukarelawan) itu untuk jalankan tugas masing-masing seperti protokol, keselamatan, logistik, pengangkutan dan sebagainya," jelas Khairy. -Bernama

Lihat Komen