malaysiakini logo
story-image
ADS

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi penegasan kepada barisan kepimpinan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengikut 'momentum' dan cara kerja yang diamalkan beliau.

Dalam ucapan pertama sebagai presiden FAM, putera raja berusia 32 tahun itu tidak perlu mengambil masa lama untuk menyatakan komitemen tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya ini kerja... (sekarang) awak kena ikut saya punya momentumlah. Saya sentiasa bersedia bila-bila masa sahaja dengan tanggungjawab yang diberi," katanya di Petaling Jaya, pagi tadi.

Dalam ucapan itu beliau turut memberi 'amaran' kepada barisan kepimpinan baru yang dipilih supaya tidak selesa dengan jawatan yang dipegang masing-masing.

Lebih penting katanya, semua individu terlibat perlu mengikut momentum dan cara kerja beliau dengar kesedaran terhadap tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

"Kami telah tiba pada tahun yang baru, era yang baru. Tetapi tidak semestinya yang berada dalam bilik ini harus berasa selesa.

"Jangan lupa bola sepak adalah hak milik rakyat dan kami yang mana berkhidmat dalam mana-mana organisasi adalah berkhidmat kepada rakyat dalam negara ini.

"Jadi saya menyeru dan nasihati dengan ikhlas kepada yang berada dalam bilik ini untuk menjaga sikap integriti, prosefionalisme dan dedikasi dalam aspek menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing," tegas Tunku Ismail.

Betulkan persepsi

Terdahulu Tunku Ismail secara rasmi menggalas tugas sebagai presiden baru FAM menggantikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengundurkan diri.

Dalam kongres itu, beliau dinobatkan sebagai menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menarik diri daripada bertanding jawatan tertinggi itu.

Sementara itu, Tunku Ismail turut menegaskan agar barisan kepimpinan baru dapat memperbetulkan persepsi rakyat terhadap persatuan itu.

"Saya nasihat kepada yang berada dalam bilik ini, apa yang penting adalah kita punya ketulusan, keikhlasan kita sikap integriti semasa menjalankan tugas.

"Kerana saya nak semua sekali rakyat Malaysia rasa bersama kita semua membangunkan dan memulihkan imej bola sepak tanah air.

"Yang mustahak adalah persepsi orang ramai terhadap organisasi tersebut, jadi untuk dapat persepsi yang baik, untuk dapat keyakinan yang baik kita kena jadi contoh kepada yang lain cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kita," katanya.

Lihat Komen